Header Ads

Bantah lanjut umur bersara: Tumpu kepada ibadat hanya selepas pencen?

WarkahDaily - Masing-masing punya pandangan masing-masing ada pro dan kontranya. Tapi kalau menganggap pencen umur 60 tahun boleh menghalang untuk beri tumpuan kepada soal ibadah, penulis WarkahDaily kurang bersetuju dengan pandangan berkenaan.

Walaupun penulis juga kurang bersetuju dengan umur persaraan dilanjutkan lagi kepada 60 tahun tetapi bukan kerana beralasan seperti yang dilontarkan oleh beberapa pihak. Kononnya, takdak masa nak beri tumpuan terhadap ibadah jika umur dihabiskan untuk bekerja.

Apakah kerana kerja, ibadat kita terhalang? Pandangan buat ibadah hanya selepas pencen adalah merupakan satu pandangan singkat dan sempit yang boleh memberi satu persepsi tak baik terhadap orang yang ingin melakukan ibadat.

Nak tunggu pencen baru nak buat ibadah. Apakah ketika masih lagi dalam perkhidmatan, kita akan buat acuh tak acuh aje dalam ibadat. Selepas pencen baru baru nak pi solat berjamaah di masjid?

Penulis merasakan, jika ada pihak yang merasakan sedemikian, berubahlah cara berfikir begitu. Jangan sempitkan ruang lingkup ibadat itu sendiri. Sebenarnya kerja tidak menghalang kita untuk terus melakukan ibadat. Yang penting keinginan kita dan keikhlasan kita kepada Allah SWT.

Jika kita merasakan kita ini adalah pinjaman Allah semata-mata, dan akan kembali kepada Nya, maka kita akan tidak acuh tak acuh dalam melakukan ibadat, kita tidak menunggu pencen baru nak beri tumpuan terhadap ibadat yang dilakukan.


Tentangan terhadap cadangan umur persaraan sehingga 60 tahun

KAMPAR: Saranan agar kerajaan menaikkan umur persaraan bagi penjawat awam di negara ini daripada 58 kepada 60 tahun baru-baru ini, nyata mendapat reaksi tersendiri daripada orang ramai.

Pegawai Daerah Kampar, Ahmad Kamaruzzaman Hamzah berkata, perkara itu tidak wajar dilaksanakan kerana ia bakal mengakibatkan penjawat awam, khususnya yang beragama Islam lebih terarah dalam memberi tumpuan kepada soal ibadah umum sahaja tanpa memberi penekanan terhadap perlaksanaan ibadah khusus seperti solat dan lain-lain.

Menurutnya, pada peringkat umur sedemikian, sewajarnyalah masyarakat lebih memberikan tumpuan terhadap soal ibadah khusus, sementara masih mempunyai tenaga dan berupaya melaksanakannya.

“Sebagai penjawat awam beragama Islam, kita sedia maklum bahawa kerja itu adalah ibadah. Tetapi jika tempoh perkhidmatan kita dilanjutkan hingga 60 tahun, ini bermakna kita akan lebih tertumpu kepada soal ibadah umum semata-mata tanpa memberi penekanan kepada ibadah khusus yang lebih berkualiti.

“Bagi saya, cadangan kenaikan umur sehingga 58 tahun itu sendiri sudah lebih daripada memadai bagi seseorang penjawat awam untuk berkhidmat,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Kamaruzzaman berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Presiden CUEPACS, Omar Osman yang mengesyorkan agar umur bagi kakitangan awam dinaikkan sehingga 60 tahun dalam pembentangan bajet 2011 kelak.

Sementara itu, beliau berkata, cadangan itu perlu dikaji semula kerana ia bakal membawa pelbagai implikasi kepada penjawat awam, khususnya yang beragama Islam di negara ini.

Katanya, Malaysia tidak wajar menjadikan negara barat sebagai contoh dalam soal sebegini yang melanjutkan tempoh perkhidmatan antara 60 hingga 62 tahun kerana gaya hidup mereka yang nyata berbeza selain tidak memberi penekanan terhadap soal akhirat.

“Pada peringkat umur sebegini umat Islam wajar merebut peluang untuk melaksanakan ibadah yang lebih berkualiti.

“Jika kita sanggup untuk berkhidmat pada usia 58 tahun bagi melaksanakan ibadah umum, kenapa tidak digunakan tenaga yang masih sihat berkenaan untuk mendekatkan diri dengan masjid selain melaksanakan ibadah lain dengan lebih berkualiti,” katanya. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.