Header Ads

Dua gol penalti Samir Nasri bantu Arsenal menewaskan Tottenham Hotspur 4-1

LONDON: Samir Nasri menyumbatkan dua penalti untuk membantu Arsenal menewaskan Tottenham Hotspur 4-1 dan sekali gus melayakkan diri dalam kelompok 16 pasukan terakhir pertandingan Piala Liga England di sini kelmarin.

(Pemain midfield Arsenal, Samir Nasri, menyumbatkan gol penalti pertamanya, sekali gus 'menghakis' pandangan kolotnya bahawa beliau tidak seharusnya mengambil tendangan penalti jika menjadi punca sepakan itu diberikan pengadil. -Foto REUTERS)

Brentford dari Liga Bahagian Tiga mencatatkan keputusan paling mengejut apabila menyingkirkan pasukan dari Liga Perdana, Everton, 4-3 melalui tendangan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 dalam masa tambahan.

Dengan kedudukan 1-1 selepas 90 minit permainan, pemain midfield Perancis, Nasri berjaya 'mengetepikan' kepercayaan karut dengan muncul untuk menyumbatkan dua tendangan penalti dalam tempoh tiga minit semasa masa tambahan.

“Sebelum ini, Nasri pernah mempunyai pandangan karut berhubung soal penalti. Katanya, jika beliau menjadi punca menerima penalti, beliau tidak akan mengambil tendangan tersebut,” demikian pengurus Arsenal, Arsene Wenger, memberitahu mengenai kemenangan terbesar pasukannya di White Hart Lane itu.

“Saya berusaha meyakinkan Nasri bahawa segala kebimbangannya itu adalah tidak berasas. Terbukti, beliau berjaya melenyapkan tanggapan karutnya itu,” tambah Wenger.

Arsenal memperolehi penalti yang pertama selepas jersi Nasri ditarik oleh Sebastian Bassong dan kemudian selepas Steven Caulker mengasari Maroune Chamakh.

Pemain gantian, Andrey Arshavin, menyambar gol keempat pasukannya melalui rembatan leret.

Mengulas tentang kekalahan ini, pengurus Spurs, Harry Redknapp, berkata, “Saya fikir keputusan pengadil memberikan penalti yang pertama agak terlalu keras. Pada saya pemain Arsenal itu sengaja menjatuhkan dirinya.”

Dalam perlawanan-perlawanan lain, pasukan dari Liga Bahagian Dua, Burnley, juga mencatatkan keputusan mengejut dengan menewaskan Bolton Wanderers 1-0.

West Ham United, yang sedang terkial-kial dalam perjuangan Liga Perdana, mengatasi Sunderland 2-1, Stoke City mengalahkan Fulham 2-0 sementara Birmingham City menundukkan Milton Keynes Dons 3-1.

Arsenal terbukti lebih menyerlah dalam separuh masa pertama dalam pertemuannya dengan Spurs.

Bahkan, pasukan pimpinan Wenger itu membuka tirai jaringan seawal minit ke-15 melalui pemain England Bawah 21 Tahun, Henri Lansbury.

Kemunculan Robbie Keane selepas rehat membawa ganjaran apabila pemain Ireland itu menyamakan kedudukan pada minit ke-48.

Keane boleh menjadi wira kemenangan Spurs tetapi rembatannya pada minit ke-83 terkena tiang gawang Arsenal untuk memaksa pertarungan ini dilanjutkan dalam masa tambahan.

Wenger, yang digantung satu perlawanan daripada berada di bangku pemain simpanan, menyaksikan perlawanan itu di kawasan yang dikhaskan untuk para pengarah kelab. -Reuters
Dikuasakan oleh Blogger.