Header Ads

Nistelrooy dipanggil semula sertai skuad Belanda

AMSTERDAM: Selepas dua tahun diketepikan, bekas penyerang Manchester United, Ruud van Nistelrooy, diundang semula untuk menyertai skuad Belanda. Ini telah diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Belanda kelmarin.

Jurulatih Belanda, Bert van Marwijk, tidak mempunyai pilihan kecuali mengundang Nistelrooy selepas pemain Arsenal, Robin van Persie, mengalami kecederaan pada buku lalinya semasa beraksi menentang Blackburn Rovers dalam Liga Perdana England Sabtu lalu.

Nistelrooy telah menyarung jersi Belanda sebanyak 64 kali dan sepanjang beraksi untuk pasukan negaranya itu, beliau menyumbangkan 33 gol.


Nistelrooy, yang juga pernah menyarungi jersi Real Madrid, telah bersara daripada pertandingan antarabangsa selepas kekalahan Belanda di tangan Russia dalam peringkat suku akhir pertandingan Euro 2008.

Bagaimanapun beliau menarik balik keputusannya pada musim lalu. Tetapi Nistelrooy telah diketepikan daripada skuad Piala Dunia Belanda ke Afrika Selatan.

Walaupun tanpa Nistelrooy, Belanda tetap melayakkan diri ke final Piala Dunia sebelum tewas 0-1 di tangan Sepanyol dalam pertandingan akhir.

Kini mewakili kelab Hamburg dalam Bundesliga Jerman, Nistelrooy telah pun menemui sasaran sebanyak tiga kali dalam dua perlawanan bersama kelab barunya itu.

"Nistelrooy kelihatan segar dan tajam. Ini adalah kerana beliau beraksi pada akhir musim lalu, kemudian bercuti panjang dan berpeluang mengikuti persiapan latihan pramusim.

"Begitupun, kami juga harus memikirkan usianya. Beliau akan berusia 36 tahun dua tahun lagi. Tetapi apabila Nistelrooy beraksi seperti dalam Bundesliga, kami tidak boleh mengetepikannya," kata Marwijk dalam sidang akhbar.

Belanda akan memulakan kempen kelayakan Euro 2012 dengan menentang San Marino pada Jumaat ini dan kemudian menjadi tuan rumah kepada Finland pada minggu berikutnya. -Reuters
Dikuasakan oleh Blogger.