Header Ads

Warga emas empat kali bersuami sedang 'berkemban' bersama lelaki dicekup

GUA MUSANG: Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam mengarahkan seorang warga emas membayar denda sebanyak RM1,800 atas kesalahan berkhalwat pada bulan Jun lalu.

Hakim Syarie, Norazizi Abdul Rahman mengarahkan warga emas berkenaan, Mek Som Kasim, 54, menjelaskan denda tersebut ataupun hukuman penjara enam bulan akan dikenakan sekiranya gagal menjelaskannya.

Dalam prosiding semalam, Mek Som yang mengaku bersalah atas tuduhan yang dihadapi bagaimanapun menundukkan kepala kerana terkejut dengan hukuman tinggi dikenakan terhadapnya.

Namun, dia kembali tenang apabila dapat menerima hakikat tersebut dan sedar mengenai perbuatan yang dilakukan itu adalah bertentangan dengan Islam.

Mek som dan pasangannya Ibrahim Yusooff, 35 didakwa berkhalwat ketika ditahan dalam satu serbuan di rumah warga emas itu di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Terah dekat sini kira-kira jam 1.05 pagi, 22 Jun lalu.


Semasa serbuan dilakukan, Mek Som didapati dalam keadaan berkemban dan berada bersama lelaki terbabit dalam bilik tidurnya.

Sebaik Skuad Amru bersama Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan(JHEAIK) diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa Agama Jajahan, Husnie Adabi Abdul Kadir, memasuki rumah itu, Ibrahim yang memakai kain pelikat kemudiannya meloloskan diri.

Ibrahim yang menunggang motosikal kemudian menyerah diri sebaik terserempak dengan Skuad Amru di kawasan Bandar Lama Gua Musang setengah jam selepas serbuan itu.

Selain itu, ketika serbuan dilakukan juga, dua budak perempuan yang mengaku anak kepada warga emas berkenaan serta masih bersekolah sedang tidur dalam bilik berasingan.

Oleh itu, pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 9(1)(2), Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan No 2/85 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Mek Som ketika diberi peluang membuat rayuan menyatakan dia sudah berkahwin dengan Ibrahim kelmarin (2 Ogos) dan mahu diringankan hukuman.

Dalam pendakwaan yang dijalankan, Timbalan Pendakwa Kanan Syarie Kelantan, Masnira Kadir kemudiannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat dan setimpal dengan perbuatan yang dilakukan kedua mereka sebagai pengajaran.

Namun, Norazizi kemudiannya mengarahkan Mek Som membayar denda sebanyak RM1,800 dan pasangannya dikenakan denda sebanyak RM1,600.

“Kamu tidak sepatutnya melakukan perkara berkenaan kerana kamu masih mempunyai dua anak perempuan dan malu kepadanya, lagipun kamu sebelum ini sudah berkahwin dengan empat lelaki walaupun sudah bercerai.

“Begitu juga dengan kamu, Ibrahim, sewajarnya kamu jaga kelelakian kamu yang masih muda dan belum berkahwin itu supaya tidak melakukan perkara pertentangan dengan hukum Islam, ” kata Norazizi yang menegur kesalahan pasangan itu. -Sinar Harian
Dikuasakan oleh Blogger.