Tandukan Kolo Toure bantu Ivory Coast malukan Itali 1-0
LONDON: Ivory Coast memulakan era baru mereka selepas Sven-Goran Eriksson dengan kemenangan apabila gol tandukan Kolo Toure membolehkan mereka mengalahkan pasukan cubaan Italy 1-0 dalam satu perlawanan persahabatan di Upton Park kelmarin.Meskipun perlawanan itu tidak membawa pengertian apa-apa, para pemain Ivory Coast boleh menganggapnya sebagai persiapan bagi perlawanan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika 2012.
Dan sekiranya jurulatih sementara, Francois Zahoui, masih memegang jawatan itu bagi perlawanan kelayakan pertama menentang Rwanda pada awal September, beliau tentu gembira dengan persembahan pasukannya menentang pasukan Italy yang mahu memulakan era baru selepas persembahan yang mengecewakan dalam Piala Dunia yang lalu.
Zahoui menamakan 11 pemain pertamanya daripada mereka yang telah beraksi di Afrika Selatan.
Empat anggota pasukan yang bermain dalam kesebelasan pertama yang mengalahkan Korea Utara 3-0 di Durban, turut disertakan dalam kesebelasan pertama kali ini.
Selain daripada Gervinho dan Didier Zokora, Kolo Toure dan adiknya, Yaya, turut diturunkan sejak dari awal.
Ini juga adalah kali kedua Yaya bermain di England sejak pemindahannya dari Barcelona ke Manchester City.
Italy nyaris membuka jaringan dua minit sahaja selepas perlawanan dimulakan selepas mereka diberi tendangan bebas di luar kotak penalti kerana Zokora terpegang bola.
Tetapi Mario Balotelli, salah seorang daripada tiga pemain Italy yang tampil buat kali pertama di bawah jurulatih baru, Cesare Prandelli, menendang bola melewati palang.
Balotelli merupakan nadi serangan-serangan awal Italy, yang membuat penonton terfikir apakah yang mungkin terjadi sekiranya beliau tidak diketepikan secara kontroversial oleh Marcello Lippi dalam kempen Piala Dunia Italy yang terkubur di peringkat pusingan sahaja.
Peluang pertama Ivory Coast jatuh pada kaki Salomon Kalou selepas minit ke-12. Tetapi cubaan penyerang Chelsea itu diadang pemain pertahanan Italy, Marco Motta.
Tiga minit kemudian, Gervinho, yang telah membuat umpanan cantik kepada Kalou, menguji penjaga gawang Italy, Salvatore Sirigu, dengan satu rembatan rendah.
Italy, dengan pemain kelahiran Brazil, Amauri, membuat penampilan sulung di bahagian serangan, kelihatan berbahaya semasa melancarkan serangan-serangan balas dan apabila mendapat tendangan bebas.
Pada minit ke-20, tendangan bebas kapten Daniele de Rossi dari luar kotak penalti hanya tersasar sedikit sahaja.
Sedang Italy kelihatan akan menguasai permainan, Kolo Toure, menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-55. -AFP
Post a Comment