Pemain adik-beradik bawa cabaran Manchester City buru kejuaraan
LONDON: Yaya Toure dan abangnya, Kolo, akan menjadi perhatian apabila Liga Perdana England bermula Sabtu ini.Pemain adik-beradik dari Ivory Coast itu merupakan antara bintang yang akan membawa cabaran Manchester City bagi memburu kejuaraan musim ini.
Dua beradik itu bersatu semula di City selepas pemindahan Yaya bernilai £24 juta (RM119.7 juta) dari Barcelona pada musim panas ini.
Kesediaan memberikan Yaya gaji mingguan £220,000 (RM1.09 juta), yang menjadikannya pemain bergaji paling lumayan di England, menunjukkan azam pemilik kelab yang berpangkalan di Abu Dhabi itu mahu merebut kejuaraan secepat mungkin.
Pengurus City, Roberto Mancini, yang telah membelanjakan lebih £80 juta (RM399 juta) bagi mendapatkan pemain-pemain baru, sedar beliau perlu mencatatkan kejayaan musim ini.
Selain daripada dua beradik itu, tulang belakang perancangan jurulatih dari Italy itu termasuk penyerang Togo, Emmanuel Adebayor.
Yaya, seorang pemain midfield, dijangka memantapkan permainan di hadapan empat benteng pertahanan, dengan Kolo menjadi tunggak pertahanan, sementara Adebayor mesti membuktikan ketajamannya untuk menjaringkan gol.
Jika ketiga-tiga pemain itu menunjukkan permainan terbaik mereka, City mempunyai asas yang kuat untuk memenuhi keyakinan Yaya apabila beliau menolak tawaran Manchester United dan memilih untuk berpindah ke kelab Eastlands itu.
“Dalam bola sepak, anda tidak tahu apa yang akan berlaku esok. Tetapi bagi saya, saya mahu bermain di samping abang saya. Ia penting bagi saya, “ kata Yaya.
“Tahun lalu, Manchester United berminat mendapatkan saya dengan menanyakan sama ada saya mahu menyertai mereka.
“Kini, saya telah mengikat kontrak dengan Manchester City.
“Saya dan abang saya mahu mencatatkan kejayaan bersama City dan saya pasti kami dapat melakukannya.” -AFP
Post a Comment