Header Ads

Kerajaan PR Kedah putuskan perolehan projek kelas F dibuat secara tender terbuka

Kerajaan Negeri memutuskan semua perolehan kerja projek kelas F dilaksanakan secara tender terbuka bagi membolehkan setiap kontraktor berpeluang mendapatkan kontrak kerja.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi (Pas-Pengkalan Kundor) berkata, sehingga tarikh 31 Disember 2009, terdapat 2,271 kontraktor kelas F yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor Negeri Kedah.

Menurutnya, amalan tender terbuka dikenal pasti mampu memberi peluang sama rata kepada kesemua kontraktor projek kelas F untuk mendapatkan kontrak kerja daripada Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri, seterusnya mengelakkan amalan pengagihan projek kepada kroni semata-mata.

“Keputusan penawaran kontrak kerja secara tender terbuka penting bagi mengelakkan amalan pengagihan projek kepada kroni tertentu semata-mata.

“Pada masa sama, ianya memberi peluang sama rata kepada kesemua kontraktor kelas F di negeri ini,” katanya ketika menjawab soalan bertulis Abdullah Jusoh (Pas-Pantai Merdeka) pada persidangan mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah Kedua Belas, di Wisma Darul Aman semalam.

Sementara itu, ketika menjawab soalan bertulis Abdullah mengenai tindakan Kerajaan Negeri dalam mempercepatkan kerja-kerja membaik pulih jalan ladang yang rosak teruk dan lambat dibaiki, Ir Phahrolrazi menegaskan kerja-kerja membaik pulih jalan terbabit bergantung kepada agensi yang membinanya.

Menurutnya, bagi jalan kampung yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan didaftar dalam Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya (Marris), kerja-kerja membaik pulih akan dilaksanakan sebaik sahaja aduan diterima dan terletak di bawah peruntukan Kerajaan Negeri.

“Bagi jalan-jalan yang dibina oleh agensi lain (selain JKR) akan memohon peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan dengan segera setelah peruntukan diterima,” katanya.

Ir Phahrolrazi turut menyatakan sebanyak RM500,000 jumlah peruntukan untuk kerja-kerja pembaikan jalan kampung dan ladang disalurkan Kerajaan Negeri pada tahun 2010. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.