Jakim: Tidak wajar tinggal doa untuk Agong, amal Islam separuh-separuh bagaimana?
WarkahDaily - Penulis WarkahDaily setuju dengan kenyataan Jakim berkaitan meninggalkan doa untuk kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong adalah perbuatan yang tidak wajar kerana Agong adalah pemimpin kita dan ketua agama di negara ini.
Kerana ia merupakan amalan yang mulia bagi kita mendoakan sesama muslim dan sudah sememangnya dituntut oleh Allah SWT.
Seperti kata Presiden PAS, Allah menurun lafaz dalam surah Fatihah dengan lafaz ‘Ihdina’ bermaksud ‘tunjukkan kami’ dan bukannya dengan lafaz ‘Ihdini’ dengan maksud ‘tunjukkan saya’. Sebabnya kerana Allah menggalakkan kita berdoa sesama kita, bukan untuk diri sendiri sahaja. –Penulis petik daripada satu laman blog (maaf, dah lupa apa nama blog tersebut).
Jadi penulis 100% bersetuju dengan kenyataan Jakim itu.
Tapi bagaimana dengan keadaan kita beramal separuh-separuh berkaitan ajaran Islam. Hanya ambil yang berkenaan (sesuai dengan kita), tinggal yang tak berkenan (tak sesuai dengan kita).
Apakah di sana ada kewajaran atau lebih dari itu, iaitu berdosa?
Menidakkan perintah Allah (hukum Allah) bermakna kita telah derhaka kepada Allah. Menolak perintah Allah bermakna kita menentang Allah SWT.
Jangan hanya kenyataan kita berbaur kepentingan pihak-pihak tertentu yang mungkin secara tidak sengaja secara diam kita telah mengenepikan hak Allah SWT.
Sembahyang adalah perintah Allah, jika tak laksana, kita tergolong dalam golongan fasik (berdosa). Begitu juga perintah yang lain termasuk dalam perkara muamalah, jual beli, ekonomi, politik dan pentadbiran, semuanya dah ditentukan Allah.
Wajib itu wajib, sunat itu sunat.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpendapat tindakan meninggalkan doa untuk Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara dan raja-raja, adalah tidak wajar kerana mendoakan pemimpin negara merupakan satu amalan mulia.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, khatib yang bertugas perlu membaca teks yang disediakan oleh panel teks khutbah Jumaat dan diperakukan pihak berkuasa agama negeri.
“Tindakan mengubah isi kandungan khutbah perlu dielakkan agar tidak menimbulkan sebarang implikasi buruk kepada masyarakat Islam.
“Jakim juga menyeru kepada semua pihak agar tidak mempolitikkan institusi agama, khususnya masjid yang sangat mulia di sisi Islam.
“Tindakan itu akan memberi kesan negatif seperti menimbulkan perpecahan dan kegelisahan di kalangan umat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau mengulas laporan akhbar berhubung penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah Jumaat bagi menggantikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di beberapa masjid di negeri itu baru-baru ini.
Wan Mohamad juga menasihatkan semua pihak supaya bertenang dan membiarkan perkara itu disiasat pihak berkuasa dengan lebih terperinci bagi mengetahui perkara sebenar sebelum sebarang tindakan boleh diambil.
Mengenai tindakan mendoakan kesejahteraan kepada orang bukan Islam, beliau berkata berdasarkan maslahah umat Islam, amalan itu tidak salah, tetapi mesti dilakukan pada waktu dan tempat yang bersesuaian. -Bernama

Post a Comment