Header Ads

F1 GP Hungary: Hamilton dan Button kehilangan kedudukan teratas

BUDAPEST: Lewis Hamilton dan rakan sepasukannya dari McLaren, Jenson Button, akan memulakan cuti musim panas mereka dalam keadaan yang kurang ceria kelmarin selepas kehilangan kedua-dua kedudukan pertama dalam senarai pemandu dan pasukan.

Kedua-dua pemandu Britain itu menduduki tempat pertama dan kedua dalam senarai pemandu sehinggalah pemandu Australia dari pasukan Red Bull, Mark Webber, menjuarai Grand Prix Hungary sementara rakan sepasukannya, Sebastian Vettel, menduduki tempat ketiga.

Keputusan itu membolehkan Webber melompat ke tangga teratas senarai pemandu dan meletakkan pasukan Red Bull di tempat pertama dalam bahagian pasukan.

Hamilton terpaksa menamatkan perlumbaannya kerana masalah kotak gear semasa di tempat keempat.

“Itu namanya perlumbaan dan kami perlulah bekerja keras sekali untuk mengejar mereka,” kata Hamilton.

“Kami kehilangan banyak mata hari ini. Inilah kali kedua ia berlaku tahun ini.

“Saya harap kami dapat bekerja keras agar dalam beberapa perlumbaan yang akan datang, kami tidak akan mempunyai sebarang masalah.”

Webber kini empat mata di hadapan Hamilton sebelum musim berehat selama tiga minggu dan kembali semula dengan Grand Prix Belgium pada 29 Ogos.

Bagaimanapun, Webber berkata beliau tidak akan bersikap sambil lewa dengan kedudukannya di atas itu.

“Adalah baik untuk memaksimumkan peluang anda, tidak kira apa yang berlaku ke atas saingan anda,” kata Webber.

“Tetapi masih terdapat beberapa perlumbaan besar, kesemuanya menampilkan cabaran yang berbeza-beza bagi kami dan untuk kereta dari segi teknikal.” -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.