Header Ads

36 unit telefon bimbit dirampas kerana logo sirim palsu

KUANTAN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri merampas 36 unit telefon bimbit pelbagai jenama bernilai kira-kira RM18,319 kerana menggunakan logo SIRIM disyaki palsu hasil pemeriksaan ke atas dua premis perniagaan di sini, semalam.

Operasi kira-kira jam 12 tengah hari itu turut melibatkan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Institut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Pengarahnya, Mohd A Aruwan Abdul Aziz berkata, peniaga yang terlibat akan diambil tindakan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Perihal Dagangan 1972 iaitu menggunakan pelekat SIRIM disyaki palsu pada telefon yang dijual bagi mengelirukan pengguna.

Menurutnya, bagi kesalahan itu, individu terlibat boleh dihukum di bawah Seksyen 18(2) akta yang sama iaitu denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM250,000.

“Tujuan pemeriksaan hari ini (semalam) adalah untuk membanteras penyalahgunaan logo SIRIM pada telefon bimbit yang dijual di pasaran supaya pengguna tidak tertipu.

“Kita bimbang, peniaga menggunakan logo itu pada telefon yang tidak berkualiti atau palsu dan menjualnya dengan harga yang tinggi kepada pengguna,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, petang semalam.

Mohd A Aruwan berkata, hasil pemeriksaan ke atas telefon yang dirampas mendapati peniaga menjualnya dengan harga lebih kurang sama dengan produk tulen.

“Semua barang yang dirampas akan dirujuk kepada syarikat pembekal atau pemegang hak cipta bagi mengenal pasti sama ada telefon itu tulen atau tiruan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menggiatkan operasi untuk membanteras penyalahgunaan logo SIRIM termasuk membuat serbuan secara rambang, intipan atau berdasarkan aduan terhadap premis yang terlibat.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, PPDNKK Pahang merampas 3220 unit barang tiruan termasuk pakaian, aksesori dan kasut bernilai RM202,456 hasil Ops Barang Tiruan dalam tempoh Januari hingga 31 Julai tahun ini seluruh negeri.

Mohd A Aruwan berkata, bagi kes rampasan video cakera padat (VCD dan DVD),permainan video dan perisian cetak rompak, pihaknya berjaya merampas 38,077 unit membabitkan nilai rampasan RM334,765 dalam tempoh sama di negeri ini.

“Rampasan melibatkan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan dan Akta Hak Cipta,” katanya. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.