Header Ads

Remaja dicekup dalam keadaan separuh bogel

TANAH MERAH: Sepasang remaja berusia dalam lingkungan 16 dan 17 tahun ditangkap khalwat dalam keadaan separuh bogel di sebuah rumah sewa di sini, kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan Penguatkuasa Pejabat Agama dan Jajahan Tanah Merah kira-kira jam 3.15 petang, hasil maklumat awam.

Ketika serbuan dilakukan, pelajar perempuan tidak berpakaian dan hanya memakai skirt dan menutup bahagian dadanya dengan selimut.

Manakala pasangannya yang juga tidak berpakaian dan hanya memakai seluar pendek.

Ketua Agama Jajahan Tanah Merah, Nik Ahmad Zuhdi Nik Yaacob, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, dipercayai kedua-dua pelajar terbabit merupakan pelajar di sekolah menengah di sekitar jajahan ini.


“Kedua-duanya ditahan atas kesalahan terbabit dan dilepaskan dengan setiap seorang penjamin sehingga menunggu tarikh perbicaraan di Mahkamah Syariah,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang remaja perempuan sebuah sekolah menengah agama di Jeli, turut ditahan oleh pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang melakukan rondaan pada jam 3.15 pagi semalam, di Batu 10, di sini.

Mereka ditahan kerana didapati berada dalam keadaan tidak sopan di kawasan sunyi.

“Pasangan lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan berasal dari Sarawak serta dipercayai menumpang bersama abangnya yang bertugas sebagai tentera di jajahan ini,” katanya.

Nik Ahmad Zuhdi berkata, hasil kerjasama polis, kedua pasangan itu diserahkan ke Pejabat Agama dan Jajahan Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

“Pihak kami mengucapkan terima kasih kepada PDRM di jajahan ini yang turut membantu bagi membanteras gejala maksiat.

“Dengan bantuan dan sokongan yang diberikan termasuk daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta masyarakat setempat dapat meringankan tugas kami menangani gejala ini yang semakin meruncing dalam kalangan remaja,” katanya.

Nik Ahmad Zuhdi berkata, ibu bapa juga harus memainkan peranan bagi memantau pergerakan anak-anak mereka agar terpelihara daripada gejala sosial yang bukan sahaja membawa kehancuran kepada keluarga malah akan mewujudkan masyarakat yang porak peranda. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.