Header Ads

Piala Dunia 2010: Beribu-ribu rakyat Ghana sambut kepulangan wira mereka

ACCRA: Beribu-ribu rakyat Ghana menyambut kepulangan skuad negara itu semalam dengan semburan air dan membentangkan karpet merah setelah pasukan itu mencipta kejutan mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia.

(Penyokong Ghana menyorak dan mengibarkan bendera Ghana menyambut ketibaan pasukan bola sepak kebangsaan Ghana di Johannesburg dalam satu rangka lawatan sebelum bertolak pulang ke Ghana. -foto AFP)

Skuad "Black Stars" itu mencipta kejayaan yang sama seperti Cameroon (1990) dan Senegal (2002) apabila sampai ke saingan suku akhir, tetapi Ghana terlepas peluang keemasan untuk menjadi negara Afrika pertama bertarung di separuh akhir apabila tewas kepada Uruguay dalam penentuan sepakan penalti.

Penyerang Ghana, Asamoah Gyan gagal menyempurnakan penalti yang diberikan selepas insiden bola tangan Suarez ketika kedudukan terikat 1-1 yang kemudiannya mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti dan menyaksikan Uruguay menang dengan 4-2.


Walaupun sedikit kecewa, penyokong Ghana tetap meraikan kepulangan itu dengan berpakaian warna kebangsaan mereka.

"The Stars berjuang habis-habisan, bukan sahaja membuat Ghana berasa bangga, tetapi juga seluruh benua Afrika," kata Felicia, 53.

Orang ramai mula membanjiri lapangan terbang beberapa jam sebelum pasukan itu mendarat dengan tiupan vuvuzela dan bernyanyi.

Ghana, yang mendapat banyak pujian di Piala Dunia merupakan satu-satunya harapan benua Afrika selepas Ivory Coast, Cameroon, Nigeria, Algeria dan pasukan tuan rumah Afrika Selatan tersingkir ketika di peringkat kumpulan.

"Kami telah lakukan yang terbaik buat Ghana dan Afrika, tetapi tuah tidak menyebelahi kami," kata kapten pasukan, Stephen Appiah.

"Kami akan layak dalam Piala Dunia 2014. Kami akan bersedia untuk bertempur sebagai pejuang," ujarnya lagi. -Reuters
Dikuasakan oleh Blogger.