Capello tidak akan meletak jawatan sebagai jurulatih England
BLOEMFONTEIN, Afrika Selatan: Fabio Capello berkata beliau tidak akan meletak jawatan selaku jurulatih England tetapi akan membincangkan masa depannya dengan Persatuan Bola Sepak (FA) England selepas anak didiknya tersingkir daripada persaingan Piala Dunia.England tersingkir dalam pusingan kedua selepas kalah 4-1 kepada Jerman.
"Saya mempunyai masa untuk membuat keputusan dan saya akan berbincang dengan pengerusi FA (Sir Dave Richards)," kata jurulatih berusia 64 tahun itu.
Ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan, Capello menjawab, "Tidak sama sekali. Kami perlu menunggu hingga saya kembali ke London."
Capello dijangka menjelaskan lagi kedudukannya dalam sidang akhbar terakhir England semalam di Rustenburg.
Jurulatih dari Italy itu telah menandatangani satu kontrak yang telah dipinda sejurus sebelum Piala Dunia bermula, yang mengikat beliau dengan England hingga akhir Euro 2012 di Poland dan Ukraine, dan menghapuskan bahagian yang membolehkan beliau berundur selepas Piala Dunia.
Mengenai perlawanan itu sendiri, Capello berkata kegagalan pengadil mengesahkan gol kedua England apabila rembatan Frank Lampard singgah ke palang gol sebelum melewati garisan gol merupakan titik tolak perlawanan tersebut.
"Ia detik paling penting dalam perlawanan," kata Capello.
"Di mana teknologinya? Sebaliknya kita berdebat mengenai sama ada ia merupakan jaringan atau tidak."
Kedua-duanya, pengadil dari Uruguay, Jorge Marrionda, dan penjaga garisan, Mauricio Espinosa, kelihatan mempunyai penglihatan yang baik tempat bola itu jatuh, tetapi memutuskan ia tidak melintasi garisan gol.
Sekiranya Capello kekal, beliau mungkin terpaksa menamatkan kerjaya beberapa pemain England yang dikenali sebagai 'Generasi Emas'.
Miroslav Klose dan Lukas Podolski telah meletakkan Jerman 2-0 di hadapan sebelum Matthew Upson menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-37.
Gol Lampard yang tidak disahkan dilakukan seminit kemudian.
Dalam separuh kedua, Thomas Mueller, 20 tahun, menjaringkan dua gol dan memastikan England terkeluar di pusingan kedua - kali pertama sejak 1998.
"Kami bermain pada kedudukan 2-1, tetapi selepas gol ketiga mereka, ia agak mengecewakan sedikit," kata Capello.
"Kami bermain dengan baik. Jerman adalah sebuah pasukan yang bagus. Mereka bermain dengan baik. Kami melakukan sedikit kesilapan apabila mereka melancarkan serangan balas. Pengadil melakukan kesilapan yang lebih besar.
"Perkara-perkara kecil sering menjadi pemutus kedudukan."
Lampard juga terkejut dengan keputusan pengadil. Beliau berkata, "Ia jelas sekali - 40,000 orang tahu dan saya juga tahu, tetapi ada dua orang yang tidak. Tidak dapat dinafikan ia telah menjejas perlawanan dan kami berasa jengkel sekali."
Kapten England, Steven Gerrard, turut berkata gol yang tidak disahkan itu sebagai titik tolak perlawanan, tetapi pada masa yang sama, akur bahawa pasukannya juga bertanggungjawab kerana melakukan beberapa kesilapan.
"Terdapat beberapa keputusan penting dalam perlawanan ini. Pada kedudukan 2-1, gol kami tidak disahkan. Pada tahap ini, perkara yang kecil menentukan perlawanan dan ia adalah gol penting bagi kami dan mungkin juga kami boleh menang." -BBC Sports
Post a Comment