Header Ads

Bola sepak Sukma Melaka: Terengganu buru hatrik, Selangor tidak rela kempunan

Juara musim lalu, Terengganu terus menepati ramalan selaku pasukan pilihan untuk merangkul emas dalam acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) XIII Melaka 2010.

Terengganu melangkah ke perlawanan akhir buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Hang Tuah, petang rabu (16 Jun).

Terengganu cuba meraih pingat emas tiga kali berturut-turut dalam acara bola sepak selepas menjuarainya dua tahun lepas selaku tuan rumah.

Terengganu akan berdepan dengan satu lagi pasukan yang berjaya ke akhir iaitu Selangor selepas berhempas pulas dan terpaksa menanti hingga ke minit-minit terakhir sebelum jaringan penyerangnya Mohd. Fitri Raduan menewaskan Kedah 1-0 pada separuh akhir.

Selangor begitu teruja untuk merangkul kilauan emas apabila kali terakhir menggengam pingat itu pada 1998 membuatkan Selangor tidak rela kempunan lagi apabila berdepan Terengganu dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) XIII Melaka 2010 di Stadium Hang Tuah malam ini (18 Jun).

Walaupun begitu, Selangor dijangka akan mendapat rintangan untuk mengulangi kilau emasnya sejak 12 tahun lalu kerana berdasarkan reputasi kejohanan tersebut, Terengganu belum lagi dibolosi sebarang gol sejak perlawanan pusingan awal hingga ke separuh akhir, ia cukup jelas membuktikan betapa benteng mereka cukup kental.

“Bagi saya Terengganu memiliki segala kelebihan sebagai sebuah pasukan yang cukup ampuh. Mereka tidak melepaskan sebarang gol dan ini membuktikan mereka adalah pilihan untuk menang”, jelas Pengurus Selangor, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Terengganu selaku pasukan pilihan, namun mereka enggan mendabik dada dan menurut Pengurus pasukannya, Ahmad Awang menganggap peluang skuad Terengganu adalah 50-50 walaupun sejak dari awal mereka diletakkan sebagai pilihan untuk mengekalkan emas yang dimenangi pada temasya dua tahun lalu.
Dikuasakan oleh Blogger.