Header Ads

Chelsea tawarkan RM232.4 juta untuk dapatkan Torres

LONDON: Juara berganda Liga Perdana England dan Piala FA, Chelsea, bakal berdepan persaingan sengit daripada Barcelona.

Bagaimanapun, pertarungan itu bukanlah di padang bola kerana Chelsea telah pun terkeluar daripada Liga Juara-Juara.

Sebaliknya, ia dijangka berlaku di meja rundingan bagi mendapatkan tenaga penyerang Liverpool, Fernando Torres.

Kelab dari Stamford Bridge itu dilaporkan akan membuat tawaran £50 juta (RM232.4 juta) bagi mendapatkan pemain Sepanyol itu bagi meninggalkan Anfield.

Dalam pada itu, kelab gergasi Sepanyol itu bersedia menjual Zlatan Ibrahimovic yang dibeli dengan harga £40 juta selepas bermain satu musim bagi mendapatkan dana untuk membeli Torres.

Kelab dari Barcelona itu juga berharap dengan mendapatkan tenaga pemain Sepanyol itu, mereka akan menggandingkannya dengan rakan senegara, David Villa, di Nou Camp.

Gandingan tenaga penggempur itu telah menjadi pasangan paling berbahaya ketika mereka beraksi bersama di peringkat antarabangsa, termasuk menjulang mahkota Euro 2008, dan kini Barca mahu kedua-duanya menampilkan prestasi yang sama di peringkat kelab.

Barcelona juga berharap dapat membeli Villa dengan harga £35 juta selepas kelab Valencia itu mengakui mereka terpaksa menjual pemain tersebut kerana berada dalam kesempitan.

Torres telah dikaitkan dengan Chelsea, Manchester City, Barcelona dan Real Madrid sejak awal lagi tetapi Chelsea dikatakan membuat tawaran yang lebih mantap.

Pemilik Chelsea, hartawan Roman Abramovich, juga bersedia menawarkan tiga pemain sebagai tambahan kepada pembelian Torres selepas menyedari Liverpool memerlukan pemain baru.

Abramovich juga bersedia menyaingi City yang dikatakan bersedia menawarkan gaji lumayan £200,000 seminggu bagi Torres.

'Torres merupakan pemain terbaik dan Roman mahukan yang terbaik untuk kelabnya. Malah, beliau telah mengenal pasti Torres sebagai pemain yang mampu membantunya membawa piala Liga Juara-Juara ke Stamford Bridge,' demikian kata orang dalam Chelsea.

'Torres boleh menyertai City bagi meningkatkan lagi pendapatannya - mungkin lebih daripada itu. Tetapi yang jelas, Chelsea mampu menawarkan lebih dari segi kewangan iaitu kemampuan merebut Liga Juara-Juara. City pula mungkin tidak mampu melakukannya.'

Bagi memperkuat cabaran mereka musim depan, juara Liga Perdana itu juga sudah hampir mendapatkan tandatangan pemain midfield Liverpool, Yossi Benayoun.

Chelsea mahukan pemain sayap asal Israel berusia 30 tahun itu untuk mengambil alih tempat Joe Cole yang dikatakan gagal menyetujui tawaran kontrak baru.

Sementara itu, Michael Ballack, Ricardo Carvalho, Deco dan Juliano Belletti juga dilaporkan akan meninggalkan Stamford Bridge.

Selain daripada bayaran pemindahan, jumlah pakej kontrak dan gaji akan membuat Chelsea melabur £130 juta. Malah, Abramovich sendiri akan turun padang untuk memastikan projek mendapatkan pemain Liverpool itu berjalan lancar.

Rancangan Chelsea itu mungkin mampu mengatasi rekod pemindahan dunia bernilai £80 juta ketika Real Madrid membayar Manchester United untuk mendapatkan Cristiano Ronaldo.

Menurut sumber-sumber, antara syarat pemindahan Torres itu termasuk Liverpool boleh memilih tiga pemain yang disenaraikan Chelsea, termasuk bayaran pendahuluan £40 juta, bagi mendapatkan Torres.

Tawaran itu akan dibuat lama sebelum pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan bermula, mungkin seawal minggu depan.

Dengan seorang pemain bernilai £15 juta, jumlah nilai keseluruhan pemindahan yang ditawarkan bagi mendapatkan Torres dengan sendirinya mengatasi jumlah nilai pemindahan Ronaldo. -AP
Dikuasakan oleh Blogger.