Header Ads

Lubuk judi di sebalik siber kafe terbongkar

SEREMBAN: Sekali pandang, ia kelihatan seperti sebuah kafe siber. Bagaimanapun, rahsia di sebalik kafe siber itu terbongkar apabila ia sebenarnya merupakan ‘lubuk’ bagi kaki judi.

Semuanya terjawab apabila Cawangan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Negeri Sembilan membuat serbuan di empat premis kafe siber dekat Taman AST, di sini, semalam apabila pengusaha itu sebenarnya menjalankan perniagaan perjudian menerusi Internet.

Serbuan kira-kira 4.30 petang itu melibatkan empat pegawai dan 11 anggota D7 dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK), di sini.

Hasil serbuan mendapati, kesemua unit komputer di premis terbabit terpapar pelbagai kegiatan perjudian.

Berikutan itu, seramai empat penjaga premis dan tiga pelanggan yang sedang leka berjudi ditahan dalam Ops Dadu.

Pegawai Turus D7 Negeri, Asisten Superintenden Habibi Majinji berkata, sebanyak 55 set komputer dirampas selepas didapati menjalankan kegiatan perjudian menerusi Internet.

"Kita membuat serbuan di empat premis dan merampas 55 set komputer. Turut ditahan adalah empat penjaga termasuk seorang wanita dan kesemua mereka berusia lingkungan 20an.

"Selain itu, kita juga menahan tiga pelanggan berusia sekitar lewat 20an yang sedang leka berjudi semasa serbuan dijalankan," katanya kepada pemberita selepas mengikuti operasi itu, semalam.

Habibi berkata, barangan rampasan yang belum dipastikan nilainya itu disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

"Semua ditahan juga dibawa ke IPD untuk siasatan. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka," katanya.

Beliau berkata, serbua:n itu dilakukan hasil pemantauan anggotanya terhadap premis yang mula beroperasi hampir sebulan lalu.

Menurutnya, pihaknya bagaimanapun tidak menemui sebarang wang taruhan pada premis berkenaan kerana semua urus niaga dipercayai dilakukan menerusi Internet. -SH

WarkahDaily - Pencegahan jenayah dan maksiat perlu lebih proaktif agar kejadian sebegini dapat dibendung daripada terus parah.

Kerosakan muda-mudi sekarang ini harus diambil perhatian oleh semua pihak lebih-lebih lagi pemerintah yang mempunyai pelbagai mekanisma dan kemudahan bagi membendung kerosakan moral ini terus merebak.

Pencegahan jangan hanya sekadar melepas batuk di tangga. Harus diingat, negara ini akan diwarisi oleh muda-mudi sekarang sebagai pengganti tampuk pemerintah negara.

Dikuasakan oleh Blogger.