Header Ads

Ferguson membidas pasukannya selepas tewas kepada Bayern Munich

(GOL KEMENANGAN: Inilah detik sebelum Ivica Olic (nombor 11)
merembat bola menewaskan penjaga gawang Manchester United, Edwin van der Sar,
untuk memberikan Bayern Munich kemenangan 2-1. -Foto Reuters)


MUNICH (Jerman): Sir Alex Ferguson membidas pasukannya selepas Manchester United tewas 1-2 kepada Bayern Munich dalam pusingan pertama Liga Juara-Juara kelmarin dengan penyerang Wayne Rooney cedera.

"Kami tidak bermain dengan cukup baik. Kami kerap kehilangan bola,' kata Ferguson selepas pasukannya kalah menerusi gol Ivica Olic pada minit terakhir masa kecederaan yang mengikis kenangan pahit yang dialami Bayern di tangan United dalam final 1999.

Bagaimanapun, pengurus veteran itu menaruh harapan bagi pertemuan kedua di padang sendiri Rabu depan sambil berkata, "Permainan akan berbeza di Old Trafford... kami akan bermain dengan lebih baik dan kami tidak akan memberikan bola seperti yang berlaku malam ini".

"Kami mempunyai satu gol di padang lawan dan itu satu kelebihan".

Bagi menambah duka juara Eropah tiga kali itu, penyerang harapan Rooney terincut-incut dipapah keluar padang selepas memberikan kelebihan kepada pasukan pelawat itu dengan gol pembukaan menerusi rembatan kaki kiri hanya selepas 66 saat perlawanan bermula.

"Buku lalinya terkena tendangan. Kami terpaksa tunggu esok. Diharapkan ia tidak serius", kata Ferguson.

Beliau menarik perhatian bahawa Rooney, yang telah menyumbatkan 34 gol musim ini, mungkin terlepas beraksi menentang Chelsea dalam pertarungan antara dua pasukan di tangga atas Liga Perdana England tetapi menambah: 'Terlalu awal untuk membuat kepastian mengenai kedudukannya".

Mengulas perlawanan dengan Bayern, Ferguson berkata 'persembahan United mengecewakan dari segi penguasaan bola' dan memuji lawannya dari Jerman ini, yang jelas bermain lebih baik.

Penjaga gawang, Edwin van der Sar, tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan bola tendangan percuma Franck Ribery pada separuh masa kedua yang melencong selepas terkena kaki Rooney.

Beliau tertewas lagi pada minit kedua masa kecederaan menerusi rembatan jarak dekat Olic, yang berjaya merampas bola daripada kaki bek kiri United, Patrice Evra.

Jurulatih Bayern, Louis van Gaal, berkata pasukannya wajar menang.

"Kami dibolosi gol yang tidak seharusnya berlaku hanya selepas minit pertama permainan,' kata jurulatih dari Belanda itu.

"Gol itu sungguh mengejutkan. Kami perlukan 10 minit untuk mengatasi kejutan itu. Selepas itu kami ternyata pasukan yang lebih baik.

"Kami juga mempunyai peluang yang baik di Manchester kerana kami sering menjaringkan gol di padang lawan".

Bayern berharap mendapatkan semula khidmat bintangnya, Arjen Robben. Pemain sayap Belanda ini tidak dapat bermain dalam pertemuan pertama selepas mengalami kecederaan betis semasa tewas kepada Stuttgart dalam perlawanan Liga Jerman Sabtu lalu. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.