Pejabat MB sahkan Salehuddin pernah mohon CEO Perangsang
KUALA LUMPUR, 5 Mac: Pejabat Menteri Selangor mengesahkan bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Salehuddin Hashim (gambar), yang dikaitkan dengan tindakan tiga Ahli Parlimennya keluar parti, pernah mengemukakan permohonan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS).“Pejabat Menteri Besar juga mengesahkan KPS telah menerima permohonan beliau itu dan Salehuddin pernah ditemu duga oleh Jawatankuasa Pemilihan,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.
Bagaimanapun kenyataan itu menambah Jawatankuasa Pemilihan memutuskan ada calon lain yang lebih layak dan sesuai dipilih bagi menjawat jawatan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab reaksi Salehuddin dua hari ini kepada kenyataan Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali bahawa Salehuddin “marah” selepas permintaannya untuk mendapatkan jawatan itu ditolak oleh parti.
Pejabat Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengeluarkan kenyataan ringkas ini ketika desas-desus masih berterusan mengatakan ada beberapa lagi Ahli Parlimen PKR akan keluar parti.
Laporan media sebelum ini pernah menyebut hubungan Khalid dan Salehuddin pernah renggang berhubung isu pendekatan kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih hutang Talam Corporation berjumlah RM390 juta.
Ia terdedah ekoran terboconya emel dalaman Salehuddin yang mempertikaikan keputusan kerajaan negeri.
Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider semalam Khalid berkata, pihaknya sudah mencapai kejayaan awal dengan memperoleh lebih RM50 juta — sebahagian hutang yang hendak diperoleh balik — dalam bentuk wang tunai.
Selasa lalu, Salehuddin mempertikaikan kenyataan Syed Husin dengan berkata, beliau kecewa kerana dikatakan “marah” sebab tidak ditawar jawatan mengetuai sayap pelaburan Selangor itu.
“Saya kecewa dengan insiden yang membabitkan Kumpulan Perangsang,” kata beliau sambil berkata tidak ingin menghuraikan dengan lebih lanjut kerana ia hanya akan memalukan Datuk Seri Anwar yang “saya pasti beliau tidak tahu-menahu tentang kenyataan media yang dikeluarkan oleh Syed Husin.”
“Memadailah bagi saya menyatakan bahawa sindiran Dr Syed Husin terhadap saya adalah cukup untuk saya mendedahkan bahawa saya mempunyai rekod menghantar e-mel sulit kepada Datuk Seri Anwar,” katanya.
Salehuddin yang didakwa mendalangi ahli-ahli Parlimen PKR keluar parti berkata, Anwar sendiri mengarahkannya untuk mengambil tugas dan tanggungjawab tersebut bagi memenuhi aspirasi parti walaupun agak keberatan.
“Saya menjawab saya hanya akan mengambil tugas tersebut jika saya dibayar RM1 sebulan.
“Saya tidak berhasrat untuk mendedahkan dokumen-dokumen sulit ini kepada umum. Memadailah untuk Syed Husin membuat kajiannya sendiri sebelum bercakap melalut.
“Semua ini direkodkan dalam komputer saya beserta bukti-bukti lain yang menunjukkan Datuk Seri telah menerima e-mel tersebut dan bertindak sewajarnya,” katanya.
Syed Husin dalam kenyataannya menyifatkan Salehuddin marah kerana dilantik sebagai CEO Kumpulan Perangsang yang menawarkan gaji RM50,000.
Ia dikatakan menjadi punca kepada pergolakan dalaman PKR sekarang. -themalaysianinsider
Post a Comment