Angka korban gempa di Chile meningkat
(SELAMAT: Seorang mangsa yang masih dihidup dibawa keluar oleh pasukan penyelamat daripada sebuah bangunan yang runtuh di bandar Concepcion, Chile, kelmarin. - Foto AP)CHILE: Angka korban gempa yang melanda Chile meningkat kepada lebih 300 nyawa. Angka ini dijangka bertambah menerusi operasi penyelamatan.
Dilaporkan lebih dua juta penduduk hilang tempat tinggal, ketika akhbar ini dicetak 9.30 malam tadi.
Meskipun Chile beruntung kerana angka korban jiwa yang rendah, ia kini berdepan dengan usaha sukar untuk membangunkan semula negara itu, dengan nilai kemusnahan dianggarkan antara AS$15 bilion ($21 bilion) dengan AS$30 bilion.
Gempa sekuat 8.8 pada skala Richter kelmarin telah menyebabkan setengah juta rumah musnah, beratus-ratus jalan raya dan jambatan runtuh.
Gempa itu telah turut mencetuskan gelombang besar tsunami daripada setinggi empat meter sehingga 90 cm. Dilaporkan sekurang-kurangnya lima orang terkorban di kampung San Juan Bautista di pulau Robinson Crusoe, berdekatan Chile.
Sekitar 50 negara dan wilayah dari New Zealand sehingga ke Jepun telah diberi amaran tsunami.
Walaupun gelombang itu dilaporkan sampai ke pantai Jepun, Hawaii dan sejauh Russia semalam, ia tidak sebesar yang diramalkan dan tidak menyebabkan sebarang kerosakan atau korban jiwa - jauh daripada kesan tsunami di Lautan Hindi yang melanda Aceh dan negara pesisir pada 2004.
Presiden yang bakal dilantik dalam tempoh dua minggu, Sebastian Pinera, berkata:
'Kami sedang bersiap sedia untuk satu tugas tambahan. Satu tugas yang bukan sebahagian daripada pelan pemerintahan awal kami - untuk membangunkan semula negara kita.
'Ia satu tugas yang sangat berat dan kami akan memerlukan sumber.'
Sementara itu, di bandar Concepcion, yang didiami 670,000 penduduk dan terletak sekitar 115 kilometer ke barat daya pusat gempa, para pekerja penyelamat dilaporkan sedang berusaha menyelamatkan sekitar 100 penduduk yang dilaporkan masih terperangkap di bawah sebuah bangunan yang runtuh.
Seorang penduduk setempat, Cik Mauri Arancibia, 23 tahun, berkata beliau lega apabila mendapat berita mak ciknya tidak cedera apabila rumah beliau yang dibuat daripada bata jemur runtuh.
Beliau bagaimanapun terkejut dengan kerosakan teruk yang melanda bandar itu.
'Saya benar-benar bimbang. Saya tidak tahu apa yang harus kami lakukan sekarang,' kata Cik Arancibia.
Dalam pada itu, Kesatuan Eropah (EU)telah mengikrarkan 3 juta Euro ($5.7 juta) untuk membantu Chile.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, pula berkata pasukan penyelamatnya bersedia untuk dikerahkan jika khidmat mereka diperlukan.
Bagaimanapun, Menteri Luar Chile, Encik Mariano Fernandez, meminta agar negara-negara yang ingin berbuat demikian tangguhkan niat mereka sehingga pihak berkuasa menilai dulu bantuan kecemasan yang diperlukan.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura berkata Presiden Singapura, Encik S R Nathan dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong telah mengutuskan kawat takziah kepada Presiden Chile, Cik Michelle Bachelet.
MFA juga menyatakan bahawa kesemua enam pelajar Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang berada di Santiago bagi menyertai program pertukaran, berada dalam keadaan selamat. - Agensi
Post a Comment