Header Ads

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dikuatkuasakan ke paras maksimum

Ketika dunia bercakap mengenai kepentingan maklumat menerusi internet, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pula mahu melaksanakan penguatkuasaan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ke tahap maksimum.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan latihan tertentu untuk menguatkuasakan undang-undang itu.

Rais berkata demikian ketika diwawancara dalam rancangan bual bicara "Soal Jawab" terbitan TV3 yang dipancar secara langsung, malam semalam.

Kerajaan tidak akan mengambil tindakan seperti China yang bercadang mewujudkan “Green Dam” sebagai langkah menyekat kemasukan unsur-unsur negatif dalam internet, kata Rais.

“Kita tidak ada buat sedemikian. Tinggal lagi kita pohon supaya agama kita, budaya kita digunakan sepenuhnya untuk menentukan kebaikan kita.

“Di samping itu, saya akui bahawa penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 digerakkan ke paras maksimum,” katanya

Sekalipun berjanji, kononnya kerajaan tidak akan menyekat kebebasan maklumat internet, Rais memberi alasan penguatkuasaan sedemikian perlu kerana rakyat tidak boleh menerima informasi media baru secara bulat-bulat.

Malah, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk melantik seorang pegawai khas dari Jabatan Peguam Negara untuk meneliti kemungkinan undang-undang sedia ada, diperketat.

Rais juga menganggap tindakan penguatkuasaan undang-undang pada tahap maksimum itu sebagai langkah penting lagi menyekat apa yang dilabelnya sebagai unsur negatif yang disebar menerusi internet.

Lantaran itu, beliau meminta setiap individu di negara ini supaya berhati-hati dalam penulisan di internet dan tidak mengugat keselamatan negara.

Beliau turut mendedahkan sebanyak 113 kes berkaitan akta itu sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan 12 daripadanya sedang diteliti bagi membolehkan tindakan lanjut diambil. - TVS

WDO - Tindakan cuba menyekat kebebasan mendapat informasi media baru diberi alasan yang tidak munasabah oleh Rais. Konon nak menghalang anak-anak yang mengabaikan ulangkaji pelajaran dan mengaji al-Quran. Bukan ke perkara itu perlu kepada mekanisma lain yang bersesuaian dengan sebab yang diberikan?

Usah diberi alasan yang pelik-pelik, padahal yang utama bagi kerajaan, cuba menyekat rakyat mendapat sumber informasi yang tiada dalam media perdana yang dikuasai Umno-BN.

Tindakan ini dilihat cuba menyekat pengaruh PR dalam menghadapi PRU akan datang. Dalam PRU lepas, Umno-BN gelabah dengan hasil pencapaian yang paling buruk dalam sejarah PRU, hilang majoriti dua pertiga, maka dengan itu, Umno-BN cuba bersiap sedia secara memaksa untuk mengekalkan kuasa yang semakin hilang.

Bagi Umno-BN, tiada kuasa tiadalah duit, tiada projek.
Dikuasakan oleh Blogger.