Header Ads

Unicorn ulangi hasrat beli kepentingan dalam Bank Islam

BANK pelaburan berpangkalan di Bahrain, Unicorn Investment Bank, mengulangi hasratnya untuk meninjau peluang membeli kepentingan yang dimiliki Dubai Group dalam Bank Islam Malaysia Bhd.

Bagaimanapun, katanya, pembelian itu hanya boleh dilaksanakan pada harga yang sesuai dan pemegang saham lain bank Islam itu bersetuju bahawa Unicorn adalah rakan kongsi yang tepat.

Dubai Group, syarikat pegangan pelaburan yang dimiliki pemerintah Dubai, Oktober lalu dilaporkan sedang mengkaji opsyen bagi 40 peratus sahamnya dalam Bank Islam berikutan keputusannya untuk mengalihkan tumpuannya kepada perniagaan yang lebih hampir dengan Dubai.

"Terdapat sedikit tekanan antara pemegang saham utama sedia ada yang mahukan rakan kongsi yang tepat, dan juga penjual (Dubai Group) yang mahukan harga yang terbaik," kata Ketua Penggabungan dan Pengambilalihan Strategik Unicorn, Frederick Stonehouse pada Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan Islam Reuters di Bahrain, semalam.

Selain Dubai Group, dua lagi pemegang saham utama Bank Islam ialah BIMB Holdings Bhd (BIMB Holdings) dan Lembaga Tabung Haji (LUTH).

Ketua Eksekutif Unicorn, Majid al-Sayed Bader dilaporkan berkata bank pelaburan itu berminat membeli saham Bank Islam dari Dubai Group yang mahu menjualnya bagi mengurangkan bebanan hutang.

"Kami menerima maklumat berkenaan daripada bank pelaburan yang mengendalikannya untuk pembeli. Kami telah menerimanya dan kami sedang mengkajinya," kata Stonehouse.

Beliau berkata, bank pelaburan Islam itu juga boleh meraih antara AS$250 juta dan AS$500 juta daripada ekuiti bagi pengambilalihan, manakala dana pelaburan strategiknya masih mempunyai kira-kira AS$100 juta untuk dibelanjakan.

Unicorn merancang untuk membeli bank komersial untuk menambah kepada perniagaan perbankan pelaburannya, dan Stonehouse berkata bank itu juga sedang meninjau peluang di rantau Teluk.

Bagaimanapun, Stonehouse berkata, ia tidak berminat untuk membeli kepentingan dalam Khaleeji Commercial Bank di Bahrain sebaliknya memilih bank Islam yang mempunyai rekod pengalaman lebih lama.

Gulf Finance House yang berpangkalan di Bahrain memiliki 37 peratus kepentingan dalam Khaleeji, dan bank pelaburan yang mencatatkan kerugian itu berkata ia sedang dalam perbincangan untuk menjual asetnya dalam usaha menambah baik kedudukan dananya. -Reuters
Dikuasakan oleh Blogger.