Komander utama Taliban di Afghanistan ditangkap
WASHINGTON: Komander utama kumpulan Taliban telah ditangkap di Pakistan dalam satu operasi bersama oleh tentera risikan Pakistan dan Amerika Syarikat, lapor akhbar the New York Times (NYT) semalam.Mullah Abdul Ghani Baradar, yang disifatkan sebagai pemimpin nombor dua Taliban di belakang pengasasnya, Mullah Muhammad Omar, yang juga sekutu rapat Osama bin Laden, berada dalam tahanan di Pakistan sejak beberapa hari lalu, menurut satu laporan akhbar itu dalam laman webnya awal semalam.
Laporan itu memetik beberapa pegawai Amerika yang bercakap dengan syarat nama mereka tidak didedah.
Baradar dikatakan ditangkap di Karachi dalam satu serangan oleh pasukan risikan Pakistan, dengan bantuan Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) Amerika, kata akhbar itu.
Pakistan sedang memimpin sesi soal siasat Baradar, tetapi pihak Amerika dikatakan terlibat sama, menurut NYT.
Baradar mengetuai majlis tentera Taliban dan dinaikkan pangkat dalam majlis itu selepas kematian ketua tentera Taliban, Mullah Akhtar Mohammed Usmani, pada 2006.
Dia juga terkenal sebagai penyelaras operasi gerakan tentera Taliban di seluruh wilayah selatan dan barat daya Afghanistan.
Jika berita itu benar, penangkapan Baradar satu tamparan besar terhadap Taliban. Baradar mungkin juga mempunyai maklumat mengenai tempat persembunyian Mullah Muhammad Omar dan Osama.
Namun, seorang jurucakap Taliban di Afghanistan memberitahu agensi berita The Associated Press (AP), tanpa menawarkan sebarang bukti, bahawa Baradar masih bebas.
'Kami menolak desas-desus ini sepenuhnya. Beliau belum ditangkap,' kata Zabiullah Mujahid menerusi panggilan telefon.
Beliau berkata laporan itu satu propaganda Barat bagi melemahkan usaha Taliban menentang serangan di Marjah, tempat persembunyian Taliban di wilayah selatan Helmand.
NYT berkata ia mendapat tahu mengenai operasi terhadap Baradar Khamis lalu tetapi menangguhkan laporannya atas permintaan para pegawai Rumah Putih, yang memberi alasan penyiaran berita itu boleh membantutkan usaha mengumpul maklumat.
Akhbar itu berkata ia memutuskan untuk menyiarkan berita tersebut selepas para pegawai Rumah Putih mengesahkan penangkapan Baradar. Namun, CIA enggan mengulas mengenai laporan NYT itu. -AP
Post a Comment