Header Ads

Pyongyang ulangi pendirian bebaskan Korea dari nuklear

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong-Il, kelmarin menegaskan semula matlamat negara komunis itu hendak membebaskan Semenanjung Korea daripada senjata nuklear.

Kenyataan itu dibuat kepada pegawai kanan Parti Komunis China, Encik Wang Jiarui, yang sedang melawat Pyongyang untuk memujuk Korea Utara menyertai semula rundingan enam hala yang terbantut April lalu.

Encik Kim 'menegaskan semula pendirian negara itu untuk membebaskan Semenanjung Korea daripada senjata nukelar' dalam pertemuannya dengan Encik Wang, lapor agensi berita Xinhua.

'Kesungguhan pihak berkenaan untuk menyambung semula rundingan enam pihak amat penting,' demikian Encik Kim ditukil sebagai berkata oleh Xinhua.

Dalam pertemuan itu, Encik Wang menyampaikan kepada Encik Kim satu perutusan daripada Presiden China, Encik Hu Jintao, yang mengundang beliau melawat Beijing, lapor Xinhua.

Ketua perunding nuklear Korea Utara, Encik Kim Kye-Gwan, semalam terbang ke Beijing bersama Encik Wang, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap, dari Beijing.

Sementara itu, duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Lynn Pascoe, memulakan lawatan empat hari ke Pyongyang semalam.

Beliau dilaporkan membawa surat daripada Setiausaha Agung PBB, Encik Ban Ki-moon, dan akan berusaha mencapai kemajuan dalam rundingan mengenai program nuklear Korea Utara.

Sementara itu, ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran (AEO), Encik Ali Akbar Salehi, berkata Iran akan mula memperkaya uranium kepada paras 20 peratus mulai semalam di loji nuklear di Natanz.

Dalam sepucuk surat kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) kelmarin, Iran memberitahu hasratnya hendak mengeluarkan uranium yang diperkaya ke tahap 20 perus.

Perancis dan Amerika Syarikat kelmarin berkata langkah terbaru ini tidak memberi mereka pilihan lain kecuali menggesa diluluskan segera sekatan keempat terhadap Teheran di Majlis Keselamatan PBB. -Agensi
Dikuasakan oleh Blogger.