Header Ads

Doktor peribadi Michael Jackson tidak mengaku salah

(MAHU KEADILAN: Para penyokong raja pop, Michael Jackson,
membawa poster yang menyifatkan doktor peribadi penyanyi itu sebagai 'pembunuh'
di luar Mahkamah Cawangan Lapangan Terbang Los Angeles
sewaktu Dr Conrad Murray dihadapkan ke mahkamah. -Foto-foto AFP, AP
)

LOS ANGELES: Doktor peribadi penyanyi terkenal Michael Jackson kelmarin tidak mengaku salah kerana menyebabkan kematian bintang pop itu, yang mati mengejut akibat memakan terlalu banyak ubat penenang pada tahun lepas.

Dr Conrad Murray, 56 tahun, yang dituduh memberi mendiang Jackson ubat penenang yang menyebabkan kematiannya, tampil di mahkamah untuk membuat pengakuan tidak bersalah.

Bapa mendiang Jackson, Encik Joe, ibunya Cik Katherine, dan adik-beradiknya, LaToya, Jermaine, Tito, Jackie dan Randy, memerhatikan prosiding di kamar mahkamah, di belakang para pendakwa.

Peguambela Dr Murray, Encik Ed Chernoff, memfailkan pengakuan tidak bersalah sebelum anak guamnya diarah supaya menyerahkan pasportnya dan membuat ikat jamin sebanyak AS$75,000 ($106,400) menjelang perbicaraan pada 5 April nanti.

Dr Murray boleh dikenakan hukuman sehingga empat tahun penjara jika didapati bersalah.

Doktor berkenaan, orang terakhir yang melihat Encik Jackson semasa hidupnya, mengaku memberi ubat penenang kepada penyanyi pop berkenaan untuk membolehkan beliau tidur sejurus sebelum kematiannya di rumah sewanya di Los Angeles pada 25 Jun tahun lepas.

Dr Murray mengaku memberi ubat bius propofol kepada Encik Jackson selepas penyanyi berkenaan berulang kali memintanya.

Propofol adalah sejenis ubat bius yang digunakan sebelum seseorang pesakit menjalani pembedahan utama. Pakar-pakar perubatan berkata ubat itu hanya boleh digunakan dan diberi oleh kakitangan terlatih di hospital.

Pejabat koroner Los Angeles mengaitkan kematian Encik Jackson dengan khayalan berat akibat propofol.

Hakim Keith Schwartz kelmarin berkata meskipun Dr Murray bebas untuk bertugas sebagai doktor, beliau dilarang memberikan propofol kepada para pesakitnya.

"Anda tidak boleh menggunakan ubat bius dalam apa jua keadaan. Anda tak boleh gunakan ubat bius, terutamanya propofol. Anda tak boleh memiliki dan memberi ubat itu," tegas Hakim Schwartz.

Sebaik sidang selesai, Encik Joe Jackson menegaskan: "Anak saya telah dibunuh. Kami mahukan keadilan.'"-AP, AFP, Bloomberg
Dikuasakan oleh Blogger.