Fabregas dijangka berpindah ke Barcelona
MADRID: Kapten dan bintang midfield Arsenal, Cesc Fabregas, mencapai persetujuan lisan dengan juara Liga Juara-Juara, Barcelona, untuk kembali ke kelab tersebut musim depan, lapor radio Cadena Ser kelmarin."Ada satu persetujuan kukuh antara Barca dengan Cesc Fabregas sekalipun jika ia hanya persetujuan lisan," kata stesen radio Sepanyol itu tanpa mendedahkan sumber-sumbernya.
"Beberapa pertemuan telah berlangsung dan ekoran daripada pertemuan itu, Cesc telah memberitahu juara Liga Primera itu bahawa beliau mahu menyertai mereka semula musim depan," tambah stesen radio itu lagi.
Cadena Ser menambah bahawa persetujuan tersebut bergantung kepada pembayaran yang dipersetujui Arsenal.
Barca tidak mengesah atau menafikan laporan tersebut.
Fabregas, 22 tahun, adalah seorang pemain antarabangsa Sepanyol.
Beliau merupakan penjaring terbanyak Arsenal musim ini dengan 14 gol dalam semua pertandingan dan terikat dengan kontrak sehingga 2014.
Namun, masa depannya menjadi bahan spekulasi lagi musim ini dengan beberapa laporan media sering mengaitkannya dengan Liga Primera.
Laporan-laporan tersebut menarik perhatian bahawa Fabregas sama ada akan ke Real Madrid atau Barcelona - kelabnya semasa beliau masih remaja.
Fabregas meninggalkan Barca untuk menyertai Arsenal pada September 2003.
Dalam pada itu, Arsenal sering menangkis sebarang cubaan daripada kelab-kelab asing untuk mendapatkan pemain yang disifatkan sebagai ayam tambatan mereka itu
Akhbar Daily Mirror kelmarin melaporkan bahawa kelab London itu telah menulis kepada para pegawai Barca dengan memberi amaran agar mereka tidak mendedahkan keinginan mereka secara terbuka bagi mendapatkan tandatangan pemain tersebut.
Fabregas adalah anggota skuad Sepanyol yang memenangi mahkota Euro 2008. Baru-baru ini, beliau tidak membesarkan khabar-khabar bahawa beliau akan meninggalkan Liga Perdana England.
"Saya mempunyai fikiran yang waras, saya berasa senang di Arsenal dan masih banyak lagi perkara yang hendak saya lakukan di England," katanya kepada akhbar sukan harian Sepanyol, Marca, Disember lalu. -AFP.
Post a Comment