Michael Schumacher sudah bersedia untuk kembali beraksi di litar Formula Satu
LONDON: Juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher, sudah bersedia untuk kembali beraksi di litar Formula Satu dengan menguji pandu sebuah kereta GP2 yang baru dibina di selatan Sepanyol, kelmarin.Pemandu asal Jerman berusia 41 tahun yang kembali bersama Mercedes selepas bersara sebagai pemandu Ferrari pada 2006 itu melengkapi ujian 52 pusingan di litar Jerez sebelum hujan lebat dan angin kencang menghentikan latihan tersebut.
Schumacher berkata beliau gembira dapat kembali berlumba.
'Cukup positif. Sentuhannya sudah pun dapat dirasakan,' kata Schumacher dalam temu ramah menerusi video yang diedarkan Mercedes.
'Nasib baik juga saya tidak meninggalkan sama sekali sukan ini dari segi penglibatan dalam perlumbaan, baik dalam acara motosikal mahupun go-kart. Saya telah mengadakan ujian bersama kereta Formula Satu pada musim panas tahun lalu.
'Oleh itu, satu-satunya matlamat ialah memandu kereta ini ke tahap maksimumnya.'
Schumacher, pemandu Formula Satu paling berjaya, terpaksa membatalkan rancangannya mahu kembali sebagai pemandu simpanan pasukan Ferrari musim lalu kerana masalah kecederaan pada lehernya selepas terlibat dalam kemalangan motosikal.
Beliau kini telah pun menandatangani satu perjanjian untuk beberapa tahun bersama Mercedes, yang telah mengambil alih Brawn, sebagai pengganti juara dunia, Jenson Button.
Schumacher akan meneruskan ujian pada kereta itu hingga hari ini.
'Meskipun cuaca tidak memihak kepada kami, sentuhan saya masih tetap mantap sepenuhnya - ini amat berharga.
'Sejak dari mula lagi saya berasa cukup selesa di litar,' katanya.
'Kami mempunyai dua matlamat - satu, untuk mencatat latihan seberapa jauh yang boleh bagi diri saya, dan kedua, bagi mengenali lebih dekat dengan para jurutera.
'Saya harus bekerja rapat dengan mereka,' katanya.
Schumacher, yang sebelum ini pernah dua kali memandu kereta bagi pasukan yang berpangkalan di Britain, juga berkata bahawa beliau telah mula menyesuaikan diri dengan baik dan persiapan untuk mengharungi musim baru ini berjalan dengan licin.
'Brackley sudah semacam rumah sendiri selepas dua kali berada di sana.... Oleh itu, sejauh ini kami semua sudah bersiap,' katanya.
GP2 merupakan siri perlumbaan penyokong bagi Formula Satu.
Semua perlumbaan itu berlangsung pada hujung minggu.
Semua pasukan yang bertanding menggunakan jentera Renault.
Pasukan Formula Satu tidak dibenarkan menjalani sebarang ujian sehingga musim rasmi pertama dilancar pada 1 Februari di Valencia. -Reuters
Post a Comment