Header Ads

Kelayakan Olimpik 2012, Piala Dunia 2014: Skuad Ong Kim Swee bertemu Lebanon, Rajagobal bertemu Taiwan

Skuad kebangsaan bimbingan jurulatih Ong Kim Swee dijadulkan akan bertemu Lebanon pada pusingan kedua kelayakan bola sepak Sukan Olimpik 2012 London.

Pasukan negara akan bertandang ke Lebanon pada 19 Jun dan akan menanti kedatangan lawan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 23 Jun.


Pegawai AFC mencabut undian pasukan Malaysia aksi pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil semalam.
Negara Timur Tengah itu memperoleh kelayakan terus ke pusingan kedua berdasarkan pencapaiannya pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2008 di Beijing bersama 11 lagi negara iaitu Korea Selatan, Korea Utara, Australia, China, Jepun, Iraq, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan dan Vietnam.

Atas kertas, dalam ranking Fifa, Malaysia berkemungkinan tiada masalah bertandang ke bumi Lebanon kerana Malaysia kini berada di tangga ke-138 dunia dan ke-21 Asia sementara lawan mereka itu berada dalam ranking ke-169 dunia dan ke-32 di Asia.

Kim Swee ketika ditemui pemberita selepas majlis undian di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil semalam bagaimanapun mengakui perlawanan menentang Lebanon pastinya getir kerana kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu sebelum ini.

“Kita tidak tahu corak permainan mereka dan akan membuat analisis terlebih dahulu serta membuat perancangan latihan pusat.

“Selain itu kita juga akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Syria ataupun Bahrain bagi memantapkan skuad Olimpik negara.

“Bagaimanapun ia masih dalam perancangan. Masih belum muktamad. Kita memilih Syria atau Bahrain kerana mahu membiasakan pemain dengan keadaan cuaca di sana, yang sama seperti cuaca di Lebanon,” katanya.

Beliau berkata, terdahulu pihaknya mempunyai cadangan untuk membuat latihan pusat di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) atau Qatar tetapi terpaksa melupakan hasrat itu kerana cuaca yang terlalu panas di sana tidak sesuai untuk anak-anak buahnya.

Menurut Kim Swee, jika salah satu negara sama ada Syria atau Bahrain bersetuju dengan permohonan Malaysia untuk mengadakan latihan di sana, skuad Olimpik negara akan berlepas pada 8 Jun untuk membuat latihan pusat sehingga ke hari perlawanan itu.

Ditanya mengenai persediaan skuad bimbingannya itu, beliau berkata kesemua pemain kini berlatih di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya.

“Saya akan menumpang enam atau tujuh pemain saya bermain bersama skuad K. Rajagobal (Harimau Malaya) pada perlawanan persahabatan menentang Hong Kong pada awal Jun depan.

Namun, beliau tidak menyatakan nama-nama pemain yang akan bersama skuad Harimau Malaya nanti yang akan bertanding pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan pada Julai.

Skuad kebangsaan, di bawah bimbingan Ong Kim Swee, melangkah ke pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0.

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

Skuad Rajagobal bertemu Taiwan

Skuad bimbingan Rajagobal dilihat mampu melangkah ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 apabila diundi bertemu Taiwan pada pusingan pertama.

Malaysia akan menerima kunjungan Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 Jun sebelum bertandang ke negara itu untuk perlawanan timbal balik pada 3 Julai.

Sekiranya berjaya melepasi halangan Taiwan, skuad bimbingan K. Rajagobal itu akan menentang Singapura pada pusingan kedua dengan perlawanan pertama di republik tersebut pada 23 Julai.

Perlawanan timbal balik pula dijadual berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Julai.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis undian yang berlangsung di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil semalam, Rajagobal yakin skuad bimbingannya itu dapat melepasi Taiwan.

“Kita ada keyakinan yang lebih kuat apabila diundi bertemu dengan pasukan Taiwan yang dikira sebagai pasukan yang boleh kita atasi,” katanya.

Malaysia kini menduduki ranking ke-138 dunia manakala Taiwan berada di tangga ke-147.

Bagaimanapun, Rajagobal berkata, fokus utama skuad negara buat masa ini adalah pada perlawanan pertama menentang Taiwan di gelanggang sendiri.

“Kita perlu beri tumpuan satu perlawanan kepada satu perlawanan dan tidak terlampau ghairah dalam menghadapi saingan.

“Jika mampu mara ke pusingan kedua, ia akan menjadi satu rekod bagi Malaysia,” kata jurulatih yang membimbing skuad negara menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah mara ke pusingan akhir Piala Dunia sejak pertama kali beraksi dalam pusingan kelayakan pada 1974 di Jerman.

Pusingan akhir Piala Dunia 2014 akan berlangsung di Brazil.
Dikuasakan oleh Blogger.