Header Ads

Aksi persahabatan: Malaysia sekadar seri 1-1 dengan Etoile FC

SINGAPURA, 27 Mac – Skuad Harimau Malaya sekadar berpuas hati dengan keputusan seri dalam perlawanan persahabatan menentang kelab jemputan Liga Singapura dari Perancis, Etoile FC 1-1 pada aksi persahabatan di Stadium Jalan Besar di sini malam tadi.

Malaysia terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi tandukan cantik Ahmad Fakri Saarani hasil lambungan Asraruddin Putra Omar dari sebelah kiri untuk mengejutkan penjaga gol Etoile, Antonin Trilles seawal minit ke-7.

Gol itu nyata membakar semangat barisan pemain Etoile dengan mempunyai dua peluang terbaik pada babak pertama tetapi tandukan penyerangnya, Jonathan Toto pada minit ke-18 dan 39 sekadar menggegar palang gol Malaysia yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.

Babak kedua bermula, Rajagobal membuat empat pertukaran dengan memasukkan Sharbinee Allawee Ramli (penjaga gol), Fadhli Shas, Azidan Sarudin dan Ashari Samsudin menggantikan Khairul Fahmi, Muslim Ahmad, Amar Rohidan dan S. Kunanlan.

Permainan di separuh masa kedua dilihat lebih rancak, apabila kedua-dua pasukan melakukan serangan berbahaya.

Pada minit ke-61, pemain tengah Etoile, Hicham Bouchemlal tidak melepaskan peluang untuk merembat kencang ke arah pintu gol Malaysia dari luar kotak penalti setelah berjaya memperdaya kapten Malaysia, Safiq Rahim untuk gol penyamaan Etoile.

Selepas gol penyamaan Etoile, Malaysia mendapat beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan namun percubaan Ashaari di minit 72 dan 81 gagal membuahkan hasil apabila dikawal kemas penjaga gol, Trilles. Malaysia terus mengasak dengan Norshahrul Idlan Talaha mendapat peluang menambah gol di minit ke 88 tetapi berjaya diselamatkan Trilles.

Kubu Malaysia juga diuji dengan serangan berbahaya barisan penyerang Etoile namun aksi cemerlang Sharbinee di gawang Malaysia berjaya menafikannya.

Etoile FC adalah sebuah kelab profesional dari Perancis yang menjadi antara lapan pasukan jemputan luar bagi memeriahkan saingan Liga Singapura. Pasukan ini juga pernah menjuarai Liga Singapura pada musim lalu dan pernah menewaskan pasukan kebangsaan Singapura tahun lepas.

Keseluruhan pasukan ini diwakili bakat dari Perancis yang dibimbing jurulatih kelahiran Itali, Guglielmo Arena.
Dikuasakan oleh Blogger.