Unisel secara rasmi ditukar nama Universiti Selangor
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penukaran nama tersebut selaras dengan program penjenamaan semula Unisel yang berusia 11 tahun dan bagi memenuhi cabaran masa kini.
Menurutnya, penjenamaan semula ini sebagai proses transformasi untuk melonjakkan nama Unisel sehingga ke peringkat antarabangsa dan setaraf dengan universiti tempatan yang sedia ada.
“Saya berharap penjenamaan semula Unisel ini bukan hanya dari segi penukaran nama sahaja tetapi juga disusuli dengan usaha dan tatacara kerja yang profesional, telus dan bertanggungjawab.
“Penukaran nama ini mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini (semalam). Kita akan mengadakan majlis sambutan sempena penukaran nama ini pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.
Abdul Khalid berkata, nama ‘Industri’ sebelum ini perlu ditukar selaras dengan perkembangan ekonomi.
Beliau berkata, Unisel perlu menjadi lebih komprehensif dengan menawarkan kursus-kursus bukan sahaja industri malah sains, teknologi, bahasa dan komunikasi.
“Dengan perkembangan akademik pesat, Unisel juga perlu melakukan perubahan positif yang mencerminkan hasrat Kerajaan Selangor yang mahu melahirkan modal insan yang cemerlang dan mampu menyumbang kepada kemajuan di Malaysia dan Selangor.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden dan Naib Canselor Unisel, Datuk Dr Rosti Saruwono dan warga kerja Uunisel yang berusaha keras untuk membawa universiti sehingga ke tahap sekarang,” katanya. -SH
Post a Comment