Pusingan pertama kelayakan Olimpik: Malaysia kalahkan Pakistan 2-0
SHAH ALAM: Skuad bawah 23 tahun negara berjaya membenam pasukan pelawat Pakistan 2-0 pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Olimpik yang berlangsung malam tadi di Stadium Shah Alam, Selangor.(Pemain Malaysia, Ahmad Muslim cuba mengatasi penjaga gol Pakistan, Yousuf Ejaz Butt depan gawang Pakistan. –foto AFP)
Kedua-dua gol negara dijaringkan pada babak separuh masa pertama.
Rentak teratur dan kemas dipamer para pemain muda negara dengan menguasai permainan sejak wisel mula ditiup pengadil perlawanan dari Hong Kong, Liu Kwok Man.
Gol pertama negara dijaringkan seawal minit ketiga menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti oleh Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria yang bermula dari sepakan penjuru oleh Md Fandi Othman.
Serangan bertali arus terus dilancarkan oleh anak buah Ong Kim Swee, K Gurusamny (m15) hampir menambah gol kedua tetapi sepakan percumanya sekadar terkena palang gol Yousuf Ejaz Butt.
Bermain dihadapan penyokong lawan nyata memberi tekanan kepada Pakistan yang akhirnya mengakibatkan Ansar Abbas dilayangkan kad merah pada minit akhir separuh masa pertama selepas menyepak penjaga gol negara Khairul Fahmi Che Mat.(Pemain-pemain Malaysia meraikan gol pertama mereka bersama penonton hasil jaringan Wan Zaharul Nizam. –foto AFP)
Selang beberapa minit daripada insiden tersebut, Md Irfan Fazail memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang ada dengan menjaringkan gol kedua menerusi rembatan volley di luar kotak penalti.
Aksi separuh masa kedua kedua-dua pasukan corak permainan perlahan dan berhati-hati.
Paling malang sekali ialah apabila anak buah Ong Kim Swee gagal memanfaatkan banyak peluang yang terhidang serta dilihat sedikit leka.
Hanya percubaan menarik Ahmad Fakri Saarani berjaya mencuri tumpuan apabila mengegarkan palang gol Pakistan pada minit ke-57.
Hasil kemenangan ini, Malaysia berjaya membawa kelebihan dua gol apabila bertandang ke Lahore, Pakistan pada 9 Mac nanti. –D5 Sports
Post a Comment