Header Ads

Piala FA: Everton singkir Chelsea

LONDON: Penyandang juara Piala FA Chelsea tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas 4-3 ke atas Everton di dalam penentuan sepakan penalti penuh dramatik di Stamford Bridge malam tadi.

(Pemain Everton meraikan kemenangan mereka menumpaskan Chelsea dalam saingan Piala FA melalui penentuan sepakan penalti. -foto AFP)

Chelsea hampir berjaya mara ke pusingan kelima apabila pemain tengah Frank Lampard menjaringkan gol pada separuh masa pertama dalam masa tambahan untuk mendahului 1-0.

Namun, pertahanan Everton Leighton Baines mengejutkan pasukan tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit terakhir masa tambahan untuk mengheret ke penentuan sepakan penalti.

Chelsea dilihat selesa untuk mara apabila Frank Lampard dan Didier Drogba menjadikan kedudukan 2-0 selepas Baines gagal menyempurnakan sepakannya.

Kebangkitan Everton tidak berhenti apabila Phil Jagielka menghidupkan peluang dengan menyudahkan sepakan penaltinya dan disusuli kemudian aksi hebat Tim Howard menyelamatkan sepakan Nicolas Anelka.

Mikel Arteta menjadikan kedudukan seri 2-2 sebelum Ashley Cole turut mengikut jejak rakan pasukan Anelka yang gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila rembatannya sekadar melambung tinggi melepasi palang gol.

Ketua pasukan Everton Phil Neville menjadi wira apabila menyumbat gol kemenangan pada sepakan terakhir untuk menjadikan kedudukan 4-3 memihak kepada anak buah David Moyes.

Kemenangan ini dianggap bermakna buat Everton selepas mereka disingkir Chelsea dalam perlawanan akhir Piala FA 2009 dan mereka dijadualkan menentang Reading selepas ini.

Kekalahan anak buah Carlo Ancelotti memalapkan lagi harapan Chelsea untuk meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini selepas ketinggalan jauh dengan pendahulu Manchester United di dalam saingan Liga Perdana dan harapan kini terarah ke saingan Liga Juara-Juara. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.