Header Ads

Liga Super 2011: Mata pertama buat Perlis

Singa Utara berjaya meraih mata pertama mereka di dalam kancah saingan Liga Super musim ini selepas berjaya mengikat Harimau Muda A seri 1-1 yang sedang meningkat naik di Stadium MBPJ malam tadi.

(Pemain Harimau Muda A, Gary Steven Robbat (kiri) berentap dengan pemain Perlis, Mohamad Hisyam sewaktu saingan Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. -foto D5 Sports)

Anak buah Mostakeen Omar nyata bernasib baik dengan keputusan seri meskipun secara aksi keseluruhan permainan lebih memihak kepada Harimau Muda.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi percubaan menarik dari jarak jauh oleh penyerang Md Faiz Subri pada minit 73 yang bermula dari hantaran Hazwan Zainon.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan semangat pemain. Saya bersyukur kami akhirnya dapat mata pertama malam ini," kata Mostakeen.

Para pemain Perlis tampak selesa dengan kelebihan satu jaringan serta dilihat mula bermain secara bertahan dan diikuti juga dengan beberapa insiden kekasaran.

"Saya menyuruh mereka bermain dengan lebih agresif untuk menyekat kepantasan dan pergerakkan pemain Perlis. Para pemain saya tidak berniat untuk mencederakan para pemain Harimau," tambah Mostakeen lagi.

Babak 10 minit akhir permainan menyaksikan dua pemain Perlis iaitu Md Sany dan Muhammad Munawwar dilayangkan kad merah untuk memaksa skuad bimbingan Mostakeen terpaksa bermain dengan 9 orang pemain.

Benteng pertahanan Perlis mula nampak goyah dan kealpaan mengakibatkan Harimau Muda menjaringkan gol penyamaan pada minit akhir menerusi Gary Steven Robbat.

Harimau Muda hampir mengecewakan pasukan pelawat namun mujurlah jaringan Md Fadhli Shas tidak dikira pengadil kerana berada di posisi ofsaid.

Perlis sebelum ini gagal meraih sebarang mata di dalam tiga perlawanan sebelum ini dan menduduki tangga tercorot liga manakala Harimau Muda A pula mengekalkan rekod tanpa kalah mereka kepada empat perlawanan.

Turut kelihatan pada perlawanan ini ialah ketua jurulatih kebangsaan K. Rajagobal yang hadir untuk meninjau perkembangan beberapa pemainnya seperti Md Fadhli Shas dan K. Gurusamy. -D5 Sports

Dikuasakan oleh Blogger.