Header Ads

Presiden Cuepacs terima pingat Datuk

Presiden Cuepacs, Omar Osman kini bergelar Datuk selepas menerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan Bakti (DPNS) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Seri Menanti di Negeri Sembilan, Sabtu lepas.

Darjah itu dianugerahkan sempena dengan Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-63 bertempat di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti. Tuanku Muhriz turut berkenan menganugerahkan darjah kebesaran, bintang dan pingat kepada 337 penerima.

Selain Omar, terdapat lagi empat penerima darjah yang sama dan sebelas orang untuk penerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran yang sama.

Omar yang baru sahaja mengekalkan jawatannya di dalam CUEPACS buat penggal kedua sebagai Presiden Disember lepas merupakan ikon pemimpin kesatuan sekerja perkhidmatan awam yang banyak memperjuangkan hak dan kebajikan mereka.

Omar yang ditemui oleh pemberita selepas majlis istiadat itu menyifatkan penganugerahan yang diterimanya bukan sahaja merupakan penghargaan kepada dirinya tetapi juga kepada semua ahli CUEPACS yang bersama-samanya bagi menggerakkan perjuangan hak sektor awam.

”Saya berterima kasih kepada semua termasuk kerajaan negeri kerana menghargai CUEPACS sebagai nadi penggerak pekerja-pekerja sektor awam di negara ini,” katanya.-KL-Today
Dikuasakan oleh Blogger.