Pramugari MAS dipercayai diserang sebelum mati
Chin Swee Len, pramugari Malaysia Airline System (MAS) yang ditemui mati di tempat letak kereta sebuah hotel di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam, Belanda, awal pagi Jumaat lalu, terbang ke Amsterdam Selasa lalu.Dia sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur pada hari mayatnya ditemui kakitangan hotel terbabit.
Laporan yang diperoleh daripada sumber MAS mendapati Swee Len dipercayai diserang dan biliknya digeledah.
Swee Len dikatakan tidak menghadiri sesi taklimat untuk penerbangan pulang ke Malaysia.
Punca kematian mangsa masih belum diketahui dan siasatan oleh pihak berkuasa negara itu masih sedang dijalankan.
Pengarah Operasi MAS, Kapten Azharuddin Osman berkata, pihak MAS sangat bersedih dengan kematian Swee Len dan mereka memaklumkan mengenai perkara itu kepada keluarga mangsa.
Azharuddin berkata, keluarga mangsa sudah berlepas ke Amsterdam dengan penerbangan MAS, kelmarin.
"Jika kerajaan Belanda memberikan sebarang maklumat terbaru mengenai perkara itu, pasti kami dapat memberikan butiran lanjut mengenainya kerana ia menjadi kes polis," katanya.
Swee Len berkhidmat dengan MAS sejak 1997 dan dia disifatkan teman sejawatnya sebagai seorang kakitangan yang berdisiplin, dedikasi dan peramah. –Sinar Harian
Post a Comment