AirAsia perkenal perkhidmatan 'Fly-Thru'
AirAsia hari ini memperkenal perkhidmatan "Fly-Thru" untuk pelanggan yang membuat pelbagai perjalanan dari Thailand, yang membolehkan mereka membuat pemeriksaan masuk sekali dari tempat asal dan menyambung penerbangan hingga ke destinasi lapangan terbang akhir.Ketua Komersil Serantau AirAsia Kathleen Tan berkata pelanggan boleh berbuat demikian tanpa memohon visa transit.
"Fly-Thru" disediakan untuk pelanggan yang terbang dalam perkhidmatan terpilih AirAsia (penerbangan jarak pendek) dan semua penerbangan AirAsia X (jarak jauh) yang melakukan transit di Kuala Lumpur dengan tempoh sambungan penerbangan dari penerbangan asal dan seterusnya antara 90 minit dan enam jam.
Menerusi "Fly-Thru", pengguna boleh menyambung penerbangan ke destinasi tujuan masing-masing tanpa perlu mendapatkan pelepasan imigresen atau visa transit di Malaysia, kata AirAsia dalam satu kenyataan.
Tan berkata setibanya di Kuala Lumpur, mereka diberikan akses ke balai transit yang disambung ke balai pelepasan dan perlu berada di pintu pelepasan sekurang-kurangnya 20 minit sebelum penerangan sambungan berlepas.
Perkhidmatan itu juga menghapuskan pemeriksaan semula bagasi apabila menyambung perjalanan ke destinasi akhir.
"Fly-Thru membolehkan pengguna memanfaatkan rangkaian dan penyambungan penebangan kami yang kukuh dan meletakkan Kuala Lumpur sebagai gerbang untuk perjalanan merentas Asean dan melepasinya," kata Tan.
AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah utama di Asia, memberi perkhidmatan di 132 laluan yang meliputi destinasi di Asia, Australia dan Eropah. -Bernama
Post a Comment