Header Ads

Sebutan semula pemilikan dadah Benjy akan didengar 11 Jan depan

Sebutan semula kes berhubung dua pertuduhan memiliki dadah anak seniwati Azean Irdawati, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy pada Mac lalu akan didengar di Mahkamah Majistret, di Kuala Lumpur, 11 Januari depan.

Majistret Hafizza Sauni menetapkan tarikh itu setelah peguam yang mewakili Benjy, Amer Hamzah Arshad memberitahu bahawa representasi yang diusulkan pihaknya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum diterima.

Pada Oktober lalu, Amer mengusulkan representasi bagi memohon kepada pihak KDN untuk mempertimbangkan semula penahanan Benjy mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan dan Kawalan Khas).

Amer berkata, pada Jumaat lalu pihaknya dijadualkan berjumpa pihak KDN mengenai representasi itu, bagaimanapun beliau dimaklum pihak KDN membatalkan perjumpaan itu dan tidak diberitahu sebab pembatalan berkenaan.

Oleh itu, pihaknya memohon satu tarikh sebutan semula sementara menunggu keputusan rayuan itu.

Mahkamah akan menetapkan tarikh bicara selepas keputusan representasi itu diperoleh.

Benjy, kini ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor, selama dua tahun atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram di sebuah rumah di Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut, di sini, kira-kira jam 4 petang 11 Mac lalu, manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 0.14 gram dadah.

Benjy, 31, didakwa melakukan kesalahan itu di Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Off Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru di sini, kira-kira jam 3 petang hari yang sama. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.