Liga Juara-Juara Eropah: Man Utd seri, Inter dimalukan pasukan tersingkir
Manchester United mengakhiri saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di puncak Kumpulan C dengan mengikat Valencia 1-1.(Pemain Inter Milan, Ivan Cordoba (tengah) cuba mengawal bola sambil diasak pemain Werder Bremen, Marko Arnautovic (kanan) dalam aksi Liga Juara-Juara pada 7 Dis 2010 di Bremen. -foto AFP)
Aksi di Old Trafford itu menyaksikan Pablo Hernandez meletakkan pelawat di depan sebelum pemain tengah Red Devils, Anderson memadam kelebihan lawan.
Kedua-dua pasukan beraksi santai berikutan dua pencabar lagi, Rangers dan Bursaspor tidak mampu lagi memintas mereka. Rangers bagaimanapun layak untuk bersaing dalam Liga Europa selaku pasukan ketiga.
Nasib berbeza pula dialami Inter Milan apabila dibelasah 3-0 kepada Werder Bremen yang sudah pun tersingkir. Kekalahan di tempat lawan itu menyaksikan Inter menyerah tampuk peneraju Kumpulan A kepada Tottenham Hotspur.
Spurs pula seri 3-3 dengan FC Twente.
Di Lisbon, saingan Kumpulan B yang terbuka menyaksikan Schalke 04 dan Lyon lolos ke babak kalah mati selepas mengalahkan lawan masing-masing.
Naib juara Jerman musim lalu itu mengetepikan Benfica 2-1. Luisao sempat mencemaskan Schalke 04 yang mendahului 2-0 apabila merapatkan jurang tiga minit sebelum tamat permainan.
Lyon membuatkan Hapoel berputih mata untuk bermain dalam Liga Europa apabila bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2 untuk mengiringi Schalke 04.
Di Nou Camp, Barcelona berjaya mengelak sebarang kejutan lagi dengan meratah Rubin Kazan 2-0.
Sah sebagai juara kumpulan D, Barcelona merehatkan sebahagian besar bintang utamanya termasuk Xavi, David Villa, Daniel Alves, Pedro manakala Lionel Messi dan Andres Iniesta di bangku simpanan.
Pemain muda, Andreu Fontas dan Victor Vazquez membalas kepercayaan Pep Guardiola dengan meledakkan gol pada babak kedua untuk membolehkan The Blaugrana menang buat pertama kali ke atas wakil Rusia itu selepas empat pertemuan.
Satu lagI perlawanan dalam kumpulan yang sama menyaksikan Copenhagen pula enggan mengambil jalan singkat dengan menewaskan Panathinaikos 3-0.
Ini berikutan mereka hanya dipisahkan satu mata dengan Rubin Kazan.
Ini merupakan kali pertama Copenhagen menempa sejarah layak ke pusingan kalah mati. -D5 Sports
Post a Comment