Azizulhasni tamatkan kemarau 40 tahun tanpa emas acara trek Sukan Asia
KONTINJEN negara beraksi cemerlang semalam apabila menambah dua pingat emas melalui acara berbasikal dan tenpin boling, sekali gus menjadikan tiga pingat emas keseluruhan (sehingga jam 8 malam) semalam.(Pemenang pingat emas negara, Azizulhasni Awang dan rakan senegara yang juga pemenang pingat perak, Josiah Ng (kiri) meraikan kejayaannya dengan jurulatih Australia, John Beasley selepas mengungguli keirin di Guangzhou. -foto AFP)
Paling membanggakan, selepas kali terakhir memenangi emas pada tahun 1970, jaguh keirin negara, Mohd Azizulhasni Awang berjaya menamatkan kemarau 40 tahun dalam acara trek di Sukan Asia.
Menambahkan keceriaan, seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng turut merangkul pingat perak dalam acara yang sama, seterusnya mengulangi pencapaian mereka di Sukan Komanwel lalu sebelum kemenangan Mohd Azizulhasni dibatalkan.
Dalam acara lapan pusingan di trek sepanjang 250 meter itu, Mohd Azizulhasni mengetuai tujuh pelumba lain pada empat pusingan awal sebelum pelumba China, Zhang Lei menjadi pendahulu.
Namun kemalangan yang melibatkan Zhang Lei dan pelumba Iran, Mohamad Parash membolehkan Mohd Azizulhasni kembali mendahului, diikuti rapat oleh Josiah dan seorang lagi pelumba tuan rumah yang juga adik Zhang Lei iaitu Zhang Miao.
Pada pusingan akhir, kedua-dua pelumba Malaysia itu tidak memberi ruang kepada Zhang Miao untuk memotong mereka bagi mengesahkan kemenangan satu-dua kepada Malaysia, sementara pelumba China itu mendapat gangsa.
Kemenangan itu juga membolehkan pelumba negara mengetepikan pelumba keirin nombor satu Asia dari Jepun, Kazunari Watanabe yang mendapat tempat keempat.
Gandingan Adrian Ang dan Alex Liew menambah pungutan pingat emas negara apabila memenangi acara beregu dengan melakukan catatan 2,711 jatuhan pin menewaskan gandingan Shogo Wada dan Tomokatsu Yamashita dari Jepun, manakala gandingan Jason Yeong Nathan dan Remy Ong memenangi pingat gangsa.
Sebelum itu, penunggang handalan negara Quzandria Nur Mahamad Fathil dan abangnya Mohd Qabil Ambak masing-masing merangkul pingat perak dan gangsa dalam acara dressage individu.
Dalam satu lagi acara yang melibatkan pelumba negara, Muhamad Adiq Hussaine Othman terlepas peluang mendapat gangsa apabila menduduki tempat keempat dalam acara Perlumbaan Mata (Lelaki), begitu juga Mohd Azizulhasni yang tewas dalam acara pecut dalam penentuan pingat gangsa kepada pelumba Jepun, Nitta Yudai. -SH
Post a Comment