Sukan Komanwel 2010: Skuad badminton negara rangkul emas
Malaysia berjaya memperoleh satu lagi pingat emas di dalam acara badminton berpasukan pada kejohanan Sukan Komanwel 2010 selepas berjaya menundukkan pasukan tuan rumah India semalam.(Beregu campuran negara Koo Kien Keat (Kanan) dan Chin Eei Hui (Kiri) semasa pertemuan di dalam acara berpasukan menentang beregu dari India Jwala Gutta-Diju Valiyaveetil pada Sukan Komanwel 2010 yang berlangsung di New Delhil pada 8 Oktober 2010. -foto AFP)
Skuad badminton negara membenam India 3-1, sekaligus menghampakan peluang pasukan tuan rumah untuk muncul pemenang ketiga pingat emas di gelanggang sendiri bagi acara berpasukan.
Mata pertama negara disumbang beregu campuran negara Koo Kien Keat-Chin Eei Hui yang berjaya menang 21-14, 10-21, 21-10 ke atas regu no.11 dunia Jwala Gutta-Diju Valiyaveetil.
Kedudukan bertukar menjadi 2-0 apabila pemain perseorangan negara Lee Chong Wei menepati ramalan apabila menang mudah 21-18, 21-7 ke atas Kashyap Parupalli.
Meskipun begitu, pemain perseorangan wanita negara Wong Mew Choo kecundang kepada pemain bintang India iaitu Saina Nehwal 24-26, 21-17, 21-14.
Kemenangan pingat emas negara hanya berjaya disahkan menerusi pasangan beregu lelaki negara Kien Keat-Tan Boon Heong yang muncul wira apabila berjaya menewaskan pasangan S.T. Arattukulam-R.K. Kallyad Thazhatheveetil 21-12, 21-19, untuk sekaligus mengesahkan pingat emas menjadi milik negara. -D5 Sports
Post a Comment