Sukan Komanwel 2010: Perseorangan dan regu badminton lelaki dominasi dua emas
Wakil badminton lelaki negara mendominasi acara perseorangan dan beregu lelaki dengan menghasilkan dua emas di hari terakhir Sukan Komanwel New Delhi 2010.(Lee Chong Wei dari Malaysia berjaya mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki di Sukan Komanwel New Delhi 2010 setelah menewaskan Rajiv Ouseph dari England dalam perlawanan akhir. -foto AFP)
Dalam acara akhir di Kompleks Sukan Sri Fort, Lee Chong Wei dengan mudah mengetepikan cabaran Rajiv Ouseph dari England 21-10, 21-8 untuk menyumbang emas ke-11 bagi Malaysia pada temasya sukan itu kali ini.
Kemenangan tersebut menjadikan Chong Wei sebagai pemain badminton kedua memenangi emas dua kali berturut-turut selepas pencapaian Rashid Sidek pada 1990 dan 1994.
Rajiv bermula garang pada awal permainan, mendahului 6-2 sebelum Chong Wei mengawal keadaan dengan kedudukan 11-7 sebelum pantas mencapai mata kemenangan ke-21 untuk mendahului satu set.
Pada set kedua, Rajiv mula hilang keyakinan dan Chong Wei dengan mudah mengutip mata demi mata untuk mendahului 18-7 pada satu ketika.
Kesilapan pada mata akhir oleh Rajiv memberikan kemenangan buat Chong Wei dan emas ketiga Malaysia hari serta ke-11 keseluruhan.
Pasangan Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong kemudian menyumbangkan emas ke-12 negara tidak lama kemudian, menghentikan cabaran gandingan England Nathan Robertson-Anthony Clark 21-19, 21-14.
Kien Keat-Boon Heong pada mulanya ketinggalan 8-11 pada set pertama namun selepas menikmati rehat mula panas badan dan mula mengutip mata berturut-turut dengan penuh aksi pantas dan cekap.
Setelah berjaya menamatkan set pertama tersebut dengan kemenangan, mereka sekali lagi lambat mengawal keadaan pada set kedua namun hasil permainan bijak dan rali panjang, berjaya mengatasi pasangan England itu untuk memberikan Malaysia emas terakhir mereka di kejohanan tersebut. -D5 Sports
Post a Comment