Update: Proton panggil semula Gen.2, Satria Neo kerana ‘clock spring’
Berita Harian - PROTON memanggil semula kereta Gen2 dan Satria Neo yang dikeluarkan antara 2004 hingga 2008 disebabkan kerosakan pada komponen 'clock spring' yang mungkin boleh menjejaskan keselamatan.Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, dilaporkan berkata komponen terbabit menyambungkan beberapa suis dan beg udara kepada peralatan seperti radio, hon dan kawalan 'cruise'.
Katanya, ujian rutin mengenal pasti kerosakan pada clock spring menyebabkan bunyi geseran dalam stereng, hon berbunyi atau lampu kereta terpasang sendiri, kerosakan suis kawalan audio dan dalam kes lebih serius boleh menyebabkan pelepasan beg udara di bahagian pemandu.
Beliau berkata, panggilan sukarela itu adalah sebahagian daripada program jaminan kualiti global Proton membabitkan 15,911 unit atau dua peratus daripada 660,000 unit kereta yang dikeluarkan dan dijual dalam tempoh berkenaan.
Proton dalam pada itu mengumumkan sebanyak RM4 hingga RM5 juta akan dibelanjakan untuk melaksanakan proses itu.
Bernama - Proton Holdings Bhd hari ini menjelaskan bahawa "clock spring" bagi model Gen.2 1.6 A/T H-Line dan Satria Neo 1.6 A/T H-Line, dengan fungsi "auto cruise" yang dikeluarkan antara 2004 dan 2008 sahaja yang terlibat dalam panggilan semula.
Clock spring itu menghubungkan suis dan beg udara keselamatan kepada radio, hon dan kawalan cruise.
Panggilan sukarela yang diumumkan semalam itu merupakan sebahagian daripada program Jaminan Kualiti Globalnya, demikian menurut syarikat dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut syarikat itu, proses berkenaan melibatkan 5,836 kereta di Malaysia, yang terdiri daripada 4,128 model Gen.2 1.6 A/T H-Line dan 1,708 model Satria Neo 1.6 A/T Hi-Line dengan fungsi auto cruise.
Untuk maklumat dan penjelasan lanjut, pemilik boleh menghubungi PROTON i.CARE di talian 1-300-880-888, menghubungi pengedar tempatan mereka atau log kepada www.protonaftersales.com.
Post a Comment