Jurujual terkejut ‘gambar tak senonoh’nya di facebook
KUALA LUMPUR: Seorang jurujual terkejut apabila mendapati gambarnya dimuat turun dalam keadaan mengaibkan dengan menggunakan teknik pertindihan gambar dalam Facebook oleh individu tidak dikenalinya.Neoh Song Soon, 23, yang berasal dari Pulau Pinang diberitahu rakannya berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 8.30 malam 30 September lalu.
Mangsa kemudian menyemak akaun Facebook miliknya dan menemui akaun yang dimaksudkan memaparkan gambarnya menggunakan nama Chan Swee Ni.
Berdasarkan gambar profil akaun itu, dipercayai pemiliknya seorang ‘wanita’ bagaimanapun gambar yang digunakan juga adalah palsu.
Menurutnya, dia tidak mengenali wanita itu.
“Saya terkejut dan berasa malu apabila mendapati beberapa gambar yang dimuat turun dalam keadaan tidak senonoh.
“Gambar itu bukan milik saya sebaliknya menggunakan teknik pertindihan,” katanya di Wisma MCA, di sini, semalam.
Menurutnya, pada mulanya hanya ada tiga gambar tetapi wanita itu terus memuat turun beberapa keping gambar dalam masa beberapa hari.
Katanya, wanita itu turut cuba menjadi rakan di laman sosial itu tetapi dia tidak mengendahkannya.
“Perbuatannya itu jelas cuba menjejaskan reputasi serta memalukan saya,” katanya.
Mangsa kemudian menghantar mesej ke peti masuk wanita berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan seumpama itu.
Song Soon berkata, dia ingin mengetahui tujuan sebenar perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan.
“Saya pelik kerana dia (wanita itu) mengatakan yang saya pernah menyakiti hatinya sedangkan saya langsung tidak mengenalinya.
“Saya memberi amaran untuk membuat laporan polis tetapi dia tidak takut malah mencabar saya untuk berbuat demikian,” katanya.
Mangsa membuat laporan polis di Alor Setar, Kedah, 2 Oktober lalu tanpa memaklumkan kepada wanita itu.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, kes seumpama ini sering membabitkan suami isteri mahupun pasangan kekasih yang berpisah.
Michael berkata, sebanyak 23 kes seperti itu dilaporkan ke biro berkenaan sejak 2008.
“Perbuatan dilakukan individu tidak bertanggungjawab ini bertujuan untuk memalukan mangsa.
“Ada mangsa mengalami trauma serta menderita akibat perbuatan itu,” katanya. -SH
Post a Comment