Header Ads

Penduduk Asia mungkin berdepan dengan cabaran kekurangan bekalan makanan

NEW YORK: Ketika hampir setiap orang membicarakan mengenai unjuran pertumbuhan luar biasa Asia, dengan China, India dan Asia Tenggara memainkan peranan penting sebagai pemacu pertumbuhan ini, dunia setakat ini masih belum lagi membangkitkan mengenai sebarang isu kekurangan makanan yang genting.

Bekalan makanan Asia telah berkembang dan masih berkembang, walaupun ia masih belum bergerak selari dengan pertumbuhan populasinya dan peningkatan permintaan.

Satu pasukan tugas khas yang dibentuk oleh Asia Society berpangkalan di New York bersempena dengan International Rice Research Institute (IRRI) yang berpangkalan di Manila, menyatakan dalam laporan terbaharunya bahawa bilangan penduduk yang menderita akibat kebuluran, buat pertama kalinya dalam sejarah, melepasi paras satu bilion di seluruh dunia pada 2009, dengan Asia menyumbang kira-kira dua pertiga daripada angka tersebut.

Dalam satu seminar di New York pada Isnin, yang dihadiri ramai diplomat dan pegawai Asean, Asia Society dan IRRI bersama-sama membentangkan laporan yang bertajuk “Never an Empty Bowl: Sustaining Food Security in Asia”.

Antara ahli panel termasuk Dan Glickman bekas Setiausaha Pertanian AS, C. Peter Timmer professor Kajian Pembangunan Emeritus Harvard University, Noeleen Heyzer setiausaha eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB bagi Asia dan Pasifik (UNESCAP), Ong Keng Yong duta besar tugas khas Singapura yang juga bekas setiausaha agung ASEAN, Ursula Schaefer-Preuss naib presiden Pengurusan Pengetahuan dan Pembangunan Mapan di Bank Pembangunan Asia dan Robert Zeigler Ketua Pengarah IRRI.

Secara tradisinya, penambahbaikan teknologi beras dan dalam produktiviti ladang telah menjadi kaedah utama bagi menangani masalah berkaitan dengan jaminan makanan.

Pasukan tugas khas itu menyedari bahawa jaminan makanan mengatasi peranan pengeluaran dan penggunaan beras di mana laporannya menyediakan penilaian tentang dimensi bukan beras bagi jaminan makanan di Asia.

Bagaimanapun, semua ahli panel memberi penekanan kepada kepentingan pertanian, terutama beras yang terus menjadi makanan asasi Asia.

Laporan pasukan tugas khas itu mengekalkan bahawa usaha-usaha Asean untuk menubuhkan stok simpanan beras serantau sebagai tindak balas kepada tempoh kecemasan telah menjadi satu daripada pendekatan paling inovatif bagi menangani kebimbangan jaminan makanan di rantau ini. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.