Header Ads

Liga Juara-Juara Eropah: Chelsea janji saingan sengit buat Marseille

Selepas dua kekalahan berturut-turut, Chelsea tidak mampu mengalami nasib serupa buat kali ketiga.

Ini menjadi tugas berat menanti Olympique Marseille apabila juara Perancis itu menentang Chelsea di Stamford Bridge dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah Kumpulan F malam ini.

Juara England itu memulakan kempen bagi mempertahan mahkotanya itu begitu cemerlang dengan memenangi lima perlawanan pertama dengan menyumbatkan 21 gol dan hanya dibolosi satu gol.

Namun, pasukan pimpinan Carlo Ancelotti itu kemudian mengalami kejutan apabila Newcastle United, yang baru dinaikkan semula ke Liga Perdana, menyingkirkannya di pusingan ketiga Piala Liga.

Ini disusuli pula dengan kekalahan 0-1 di tangan Manchester City dalam perlawanan Liga Perdana Sabtu lalu.

Tetapi anak buah jurulatih Italy itu yakin dapat bangkit untuk menangkis cabaran Marseille.

Kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu ialah lebih 10 tahun lalu di peringkat kumpulan kejohanan ini - masing-masing menang tipis 1-0 di padang masing-masing.

Bagaimanapun, Chelsea belum kalah dalam lima perlawanan menentang kelab-kelab Perancis dan belum pernah tewas dalam empat perlawanan terakhir di padang sendiri menentang kelab-kelab Eropah.

Jadi, tidak hairanlah jika mereka begitu yakin meskipun Marseille mempunyai rekod baik menentang kelab-kelab England - menang tujuh, seri tiga dan kalah enam kali - dengan tiga daripada kekalahan tersebut merupakan kunjungan terakhir dan kesemuanya di tangan Liverpool.

Selepas terlepas peluang keemasan untuk menjulang mahkota Liga Juara-Juara pada 2008 apabila ia tewas kepada Manchester United dalam final di Moscow, trofi itu terus menjadi antara matlamat utama Chelsea.

"Memang menjadi matlamat kelab ini untuk memenangi Piala Eropah," kata pemain sayap Perancis, Florent Malouda.

"Selepas hampir menjuarainya, kami berasa sudah tiba masanya untuk menjuarainya musim ini."

Malouda percaya kekuatan skuad Chelsea mampu mengharungi cabaran Liga Juara-Juara ini dan Ancelotti, yang pernah dua kali memenanginya bersama AC Milan, tentu sekali mahu memenanginya buat kali ketiga.

Tetapi Chelsea akan berjuang tanpa penyerang Didier Drogba, yang digantung satu perlawanan.

Bagaimanapun, ketiadaan Drogba dijangka tidak menjejas ketajaman jentera serangan Chelsea kerana mereka boleh menaruh harapan kepada Malouda dan juga rakan senegara Perancis, Nicolas Anelka.

Chelsea membuka kempen musim ini dengan kemenangan memberangsangkan 4-1 ke atas MSK Zilina tetapi

Marseille mempunyai reputasi yang lebih baik berbanding dengan kelab Slovakia itu.

Tambahan pula, Chelsea tidak asing bagi Deschamps, yang memenangi Piala FA 2000 bersama kelab London itu di bawah pengurus Gianluca Vialli.

Tetapi pengurus Marseille itu akur bahawa Chelsea antara pasukan yang kompetitif di Eropah dengan barisan pemain berpengalaman.

"Saya seronok kembali ke Stamford Bridge," kata bekas kapten Perancis yang menjulang Piala Dunia 1998 itu selepas menewaskan Brazil.

"Sungguhpun telah menjalani pengubahsuaian, suasananya tetap segar dalam ingatan saya," tambah jurulatih berusia 41 tahun itu.

Sebagai pemain, Deschamps pernah dua kali memenangi Piala Eropah ketika bersama Marseille pada 1993 dan Juventus dari Italy pada 1997.

Sebagai jurulatih, beliau telah memimpin Monaco sehingga ke final pada 2004, dengan Chelsea turut bertanding pada musim itu tetapi langkahnya terbantut di separuh akhir.

"Tanpa diragukan, Liga Juara-Juara adalah antara pertandingan terbaik dan kompetitif," tegas Deschamps.

"Ia menjadi buruan bukan saja Chelsea, yang merupakan antara empat atau lima pasukan yang menjadi pilihan, bahkan pasukan lain yang turut bertanding."

Deschamps turut menyanjung Ancelotti, yang pernah menjadi jurulatihnya selama enam bulan di Juventus.

"Beliau adalah antara jurulatih saya di Juventus dan saya tertarik corak permainan bola sepaknya dan saya juga gembira bertemu lagi dengannya."

Sedang Chelsea favorit untuk mengecap kemenangan keduanya dalam kempen di Eropah musim ini, juara England itu harus waspada bahawa Marseille juga mampu mencatatkan kejutan.

Ini kerana kewibawaan Deschamps yang memimpin kelabnya menjuarai Liga Perancis buat pertama kalinya dalam tempoh 18 tahun.

"Perlawanan dengan Marseille adalah sukar," Malouda memberi amaran kepada rakan-rakan sepasukan Chelsea.

"Ini kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kelab-kelab Perancis telah mencatatkan kejayaan yang baik dalam Liga Juara-Juara.

"Oleh itu, jangan memperlekeh kemampuan Marseille," tambah kapten pasukan Perancis itu sebagai merujuk kejayaan Olympique Lyon dan Bordeaux ke suku akhir musim lalu.

Selain daripada menajamkan jentera serangan, Chelsea perlu mengukuhkan bentengnya daripada mudah tergugat seperti yang didedahkan jentera serangan City di Eastland Sabtu lalu.

Sememangnya kapten John Terry, Alex, Ashley Cole dan Branislav Ivanovic merupakan gandingan berpengalaman tetapi prestasi mereka tidak menunjukkan kemampuan sebenar masing-masing.

Begitu juga dengan penjaga gawang Petr Cech, yang seolah-olah keyakinannya menurun dalam perlawanan dengan City.

Mereka akan berdepan dengan Marseille yang begitu bersemangat menyusuli kemenangan 2-1 ke atas Sochaux dalam Liga Satu Perancis hujung minggu lalu.

Terry dan rakan-rakannya perlu memberi perhatian kepada gandingan penyerang, Taye Taiwa dan Lucho Gonzalez, yang menyumbatkan kedua-dua gol kemenangan tersebut.

Tetapi dengan para penyokong di Stamford Bridge di belakang anak buah Ancelotti, saya percaya Chelsea mampu memenangi perlawanan ini.
Dikuasakan oleh Blogger.