F1 GP Singapura: Alonso hidupkan peluang cabar juara dunia
SINGAPURA: Fernando Alonso membara mengenai peluangnya merangkul gelaran dunia ketiga selepas meraih kejayaan kedua berturut-turut di Grand Prix Singapura.Pemandu Sepanyol itu kini berada di landasan sebenar selaku pencabar susulan kejayaan Ferrari di Monza dua minggu lalu untuk menghidupkan peluangnya bagi mengetepikan penguasaan Sebastian Vettel di Singapura.
Ini menjadikan kejuaraan ini semakin menarik bagi baki empat lagi bermula di Jepun bulan depan.
Pemandu Red Bull, Mark Webber menduduki takhta teratas dengan 202 mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, mendahului Alonso dengan 191 mata, Lewis Hamilton (182), Vettel (181) dan Jenson Button (177).
Alonso mendakwa saingan merebut gelaran dunia kini semakin terbuka.
"Kejuaraan ini masih sengit di kalangan lima pencabar. Sudah tentunya Mark (Webber) mempunyai kelebihan tetapi kami akan melakukan yang terbaik. Saya tidak tahu sama ada ia memadai, namun akan memberikan 100 peratus.
"Saya memiliki 20 peratus di kalangan lima pemandu ini. Kami akan lihat selepas dua perlumbaan nanti jika saya masih di kedudukan kedua, semuanya boleh terjadi.
"Dalam baki empat perlumbaan, mana-mana pencabar dikalangan kami mampu memenangi dua atau tiga perlumbaan dan berada di posisi yang baik. Tetapi anda melakukan sebarang kesilapan, anda mungkin akan terkeluar daripada saingan.
"Kami perlu mengekalkan tumpuan kami dan berharap tiada kesilapan berlaku dan dapat mengekalnya di Jepun," kata Alonso.
Alonso yang memenangi perlumbaan ke-25 peribadinya menambah perkara itu boleh terjadi kepada Ferrari, Red Bull dan McLaren yang akan mengalami pasang surut dari sekarang hingga perlumbaan terakhir di Abu Dhabi.
"Dalam sukan ini tidak mungkin anda dapat mengekalkan kecergasan dan tumpuan 100 peratus dalam semua perlumbaan. Pasang surut adalah sesuatu yang normal. Tetapi saya boleh katakan bahawa motivasi dan tumpuan saya berada di kemuncak.
"Saya rasa perlumbaan baru sahaja bermula," tambahnya. -AFP
Post a Comment