Header Ads

Barcelona rakam kemenangan, Real Madrid gigit jari

MADRID: Penyandang juara La Liga, Barcelona mengatasi musuh ketat, Real Madrid yang berada di tempat kedua apabila merakamkan kemenangan 3-1 ke atas Athletic Bilbao.

(Penyerang Barcelona David Villa meraikan jaringan rakan sepasukan, Xavi Hernandez sewaktu menentang Athletic Bilbao dalam saingan La Liga di Bilbao pada 25 September 2010. -foto AFP)

Kemenangan ketiga Barca itu dihasilkan oleh Seydou Keita, Xavi dan Sergi Busquets pada separuh masa kedua selepas Bilbao terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Fernando Amorebieta dibuang padang pada minit ke-33 sementara David Villa turut mengalami nasib yang serupa.

Real Madrid pula seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila sekadar seri 0-0 dengan pendatang baru, Levante dan menyebabkan ketinggalan satu mata dibelakang Barcelona.

Pendahulu liga, Valencia pula meraih 13 daripada 15 mata maksimum berjaya membenam Sporting Gijon 2-0.

Real sebelum ini berada di puncak dengan kelebihan gol namun gagal mempamerkan ketajaman penyudah di depan gol.

"Ia bukan sesuatu yang normal terhadap sebuah pasukan yang mempunyai banyak peluang.

"Sudah jelas ia membimbangkan saya kerana anda perlu menjaringkan gol untuk menang dan kami telah kehilangan mata.

"Bukan kualiti pemain yang menjadi masalah kerana mereka sudah biasa menjaringkan banyak gol," jelas Jose Mourinho.

Real meledakkan 102 musim lalu tetapi di bawah kendalian Mourinho mereka hanya merekod enam gol dalam lima perlawanan awal.

Barcelona terpaksa berpeluh sebelum mencipta kemenangan ke atas Bilbao.

Aksi di San Mames itu menyaksikan tiang gol menjadi penghalang utama pada awal permainan sekalipun lawan tempang tanpa seorang pemain. Namun kegusaran mereka berakhir apabila Keita berjaya menyempurnakan gerakan Villa.

Xavi kemudian menjadikan kedudukan 2-0 dan menjadi resah selepas Bilbao berjaya merapatkan jurang.

Namun Busquets memastikan kemenangan mutlak mereka apabila menjaringkan gol lewat permainan.

Pemain Turki, Mehmet Topal dan tonggak Sepanyol, Roberto Soldado membantu Valencia meraih kemenangan bermakna menjelang pertemuan dengan Manchester United dalam kempen Liga Juara-Juara.

"Para pemain meraih sesuatu yang penting dan paling penting sekali ialah pasukan ini tidak beraksi secara individu dan itu yang menjadi kunci sejak dari mula," kata jurulatih kelab itu, Unai Emery. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.