Header Ads

Woods sah bercerai, bekas isteri dapat RM1.5 bilion

TIGER Woods dan isterinya, model Swedan Elin Nordegren bercerai kelmarin selepas perkahwinan mereka tidak dapat diselamatkan akibat pendedahan skandal seks menyebabkan kehidupan pemain golf nombor satu dunia itu semakin tidak menentu.

Woods, 34, dan Nordegren, 30, mengeluarkan kenyataan bersama menyuarakan rasa sedih berakhirnya perkahwinan berusia enam tahun itu dan dan berjanji bekerjasama demi masa depan dan kebahagiaan anak-anak.

"Kami sedih perkahwinan ini berakhir dan berharap yang terbaik untuk masa depan.
"Walaupun tidak lagi bersama, kami tetap ibu bapa dua anak yang hebat dan kebahagiaan mereka menjadi keutamaan."

Dalam petisyen cerai difail awal Julai, Elin mendakwa perkahwinan itu tidak dapat diselamatkan dan meminta namanya sebelum berkahwin digunakan kembali.

Woods dan Elin hadir di mahkamah Panama City, Florida kelmarin untuk melaksanakan proses perceraian itu dan mereka bersetuju bersama-sama menjaga anak. Menurut dokumen mahkamah, kedua-duanya menghadiri kelas keibubapaan selama empat jam.

Dokumen itu mendedahkan Elin sudah berpindah daripada kediaman mereka di Orlando pada November dan tinggal di kediaman berhampiran.


Woods mengahwini bekas model itu pada Oktober 2004 di Barbados dan pasangan itu mempunyai anak perempuan berusia tiga tahun, Sam dan anak lelaki, Charlie, 19 bulan.

"Apabila kami mencapai keputusan mengakhiri perkahwinan ini, fokus utama perbincangan adalah memastikan masa depan anak terjaga.

"Minggu dan bulan mendatang tidak mudah kepada mereka dan kami berusaha menyesuaikan diri dengan situasi keluarga baru di mana privasi menjadi keutamaan."

Perceraian itu disahkan hakim Florida selepas kes itu didengar 10 minit di bilik mesyuarat Bay County Circuit Court yang dihadiri Elin dan Woods, kelmarin.
Peguam Elin ketika dihubungi tidak memberi maklumat mengenai syarat perceraian itu tapi media menganggarkan dia memperoleh bahagian antara AS$100 hingga AS$500 juta (RM314.6 juta hingga RM1.5 bilion) .

Kisah kejatuhan Woods bermula 27 November tahun lalu selepas dia melanggar pokok dan pili bomba berhampiran kediamannya di Orlando.

Insiden itu membawa pendedahan dan pengakuan skandal seksnya dan seterusnya membuat keputusan untuk berehat sementara daripada karier golfnya untuk menyelamatkan perkahwinannya.

"Ia mungkin mustahil membaiki kerosakan yang terjadi namun saya cuba yang terbaik," menurut Woods di laman webnya. "Saya sedar mengecewakan banyak pihak kerana ketidakjujuran ini terutamanya kepada isteri dan anak-anak."

Woods yang dilihat sebagai duta generasi baru golf sebelum ini mempunyai imej bersih yang membolehkan dia mencipta rekod penajaan dan seorang bintang sukan.
Menurut majalah Forbes, Woods atlet pertama melepasi pendapatan berbilion dollar.

Imej itu bagaimanapun musnah seminggu selepas kemalangan kereta itu apabila beberapa wanita termasuk bintang lucah, pelayan koktel dan pengurus kelab Las Vegas mendakwa memiliki hubungan romantik dengan bintang sukan itu. Sejumlah penaja juga bertindak memutuskan hubungan dengan Woods.

Woods yang sebelum ini memohon maaf secara terbuka kepada Nordegren kerana mencetuskan kegilaan tabloid hingga lebih sedozen wanita mendakwa mempunyai hubungan dengannya, mengaku hidup dalam pembohongan dan melakukan beberapa perkara buruk.

Dalam usaha menyelamatkan perkahwinan itu, Woods menjalani rawatan ketagihan seks di sebuah klinik di Mississippi sebelum membuat penampilan semula di US Masters Mac lalu.

Sejak itu persembahan tidak menentu menimbulkan persoalan sama ada juara 14 kali kejohanan utama itu mampu kembali mencapai prestasi terbaiknya yang mendominasi sukan itu sejak sedekad yang lalu.

Sembilan bulan selepas skandal seksnya diketahui umum. Woods menyertai Jelajah PGA minggu ini, namun gagal menamatkan kemarau tanpa sebarang kemenangan tahun ini.

Seperti kehilangan sentuhan ajaib, dia berada di kedudukan ke-108 dan mungkin boleh kehilangan ranking nombor satu bila-bila masa.

Jika gagal mencapai keputusan memberangsangkan di kejohanan The Barclays di New Jersey bermula esok, ia mungkin menjadi penampilan terakhirnya musim ini kerana hanya pemain 100 teratas layak untuk kejohanan seterusnya. -AFP

sumber: HM
Dikuasakan oleh Blogger.