Header Ads

PAS ada idea jana peningkatan FDI - Datuk Mahfuz

PAS mendakwa idea tersendiri bagi meningkatkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negara ini sambil menegaskan, pihaknya mahu kedua-dua menteri dan timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bekerjasama dengan parti itu.

Naib Presidennya Datuk Mahfuz Omar (Gambar) berkata, beliau mahu Datuk Mustapa Mohamed dan timbalanya Datuk Mukhriz Mahathir berbincang dengan parti itu mengenai hala tuju FDI ke negara ini.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pokok Sena itu menolak tanggapan bahawa ia harus dilihat sebagai satu bentuk kerjasama PAS dan Umno kerana beliau hanya mahu bertemu MITI dan menyedarkan mereka tentang masa depan ekonomi negara.

“Mungkin Mukhriz dan Tok Pa sibuk agihkan AP kepada kroni, saya fikir ini tak untungkan negara,” sindir beliau.

Panel PAS yang terdiri daripada pemimpin berpengalaman parti itu bagaimanapun tidak didedahkan Mahfuz.

Mahfuz turut mengingatkan pelbagai sektor boleh dieksploitasi bagi tujuan mempromosikan Malaysia.

“Saya lihat kerajaan tak beri tumpuan tentang industri elektronik, mineral dan lain-lain yang dah bertapak sejak tahun 1970-an di negara ini. Kerajaan gagal lakukan strategi memasarkan Malaysia di mata dunia,” katanya.

Mustapa sebelum ini dikritik teruk oleh bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah apabila menyatakan kehilangan berbilion ringgit FDI tidak akan menjejaskan kadar pertumbuhan negara.

Mahfuz menyifatkan perkara ini harus dipandang berat kerana pengalaman dan kebolehan yang ada pada Tengku Razaleigh membolehkan beliau menilai prestasi Mustapa.

“Benda yang sangat kritikal, amat memalukan apabila seseorang menteri dianggap oleh bekas menteri kewangan yang berpengalaman, sebagai pembohong,” katanya.

Semalam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak boleh mengharapkan menerima FDI yang besar jumlahnya seperti sebelum ini kerana kini, kebanyakan negara dan syarikat asing tidak mempunyai wang untuk dilaburkan di luar negara.

Kata beliau, mereka juga ingin melabur di negara sendiri berikutan kadar pengangguran yang tinggi di tempat masing-masing.

Laporan Pelaburan Dunia 2010 oleh Persidangan Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (Unctad) yang menyebut bahawa pengaliran masuk FDI ke Malaysia jatuh 81 peratus daripada RM23.47 bilion pada 2008 kepada RM4.43 bilion tahun lepas. -Malaysian Insider
Dikuasakan oleh Blogger.