Header Ads

Maybank catat keuntungan berganda sebelum cukai RM5.37 bilion

Malayan Banking Bhd merekodkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi sebanyak RM5.37 bilion, bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2010, berbanding RM1.67 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Abdul Wahid Omar (Gambar) berkata peningkatan keuntungan yang ketara itu disumbang oleh prestasi yang meningkat merentas semua segmen perniagaan utama serta pertumbuhan yang kukuh di Indonesia.

Jumlah perolehan bank melonjak 22.4 peratus kepada RM12.87 bilion berbanding RM10.5 bilion sebelumnya," katanya pada taklimat media mengumumkan prestasi kewangan untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2010, kelmarin.


Bagi suku keempat, bank merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.36 bilion berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM821.6 juta pada tempoh perbandingan sebelumnya.

Abdul Wahid berkata segmen perbankan pengguna terus menjadi pemacu utama keseluruhan operasi Maybank, terutama di Malaysia, manakala pertumbuhan pinjaman pengguna di Malaysia dirangsang oleh peningkatan permintaan bagi pembiayaan sekuriti yang meningkat sebanyak 28.6 peratus, pembiayaan automobil meningkat 13.2 peratus dan terimaan kad kredit menambah 16 peratus.

Dalam perniagaan kad kredit, Abdul Wahid berkata Maybank memperkukuh kedududukannya dengan peningkatan berterusan dalam penguasaan pasaran bil kad sebanyak 21.8 peratus, terimaan kad 14.4 peratus, kad asas 16.6 peratus dan jualan kad pedagang 29.3 peratus.

Trend yang sama direkodkan dalam pembiayaan automobil, dengan penguasaan pasaran meningkat kepada 17.4 peratus berbanding 16.6 peratus pada Jun 2009.

Beliau berkata Maybank terus menjadi bank komersil Islam terbesar di Malaysia dengan penguasaan pasaran sebanyak 17 peratus daripada keseluruhan aset Islam setakat Jun 2010.

Keuntungan sebelum cukai perbankan Islam meningkat 12 peratus kepada RM533 juta tahun ini berbanding RM476 juta sebelumnya, dirangsang oleh peningkatan 20 peratus pendapatan kasar, katanya dan menambah ia menyumbang kira-kira 10 peratus daripada keuntungan sebelum cukai kumpulan itu.

Walaupun keuntungan sebelum cukai operasi Singapura meningkat 36 peratus kepada 338.0 juta dollar Singapura, berbanding 347.7 juta dollar Singapura tahun lepas, disokong oleh pertumbuhan pinjaman sebanyak 8.6 peratus, katanya.

Beliau berkata antara pemacu utama pertumbuhan pinjaman ialah perniagaan umum, yang meningkat 19.6 peratus, pembinaan dan bangunan 14.7 peratus, perumahan 10 peratus dan pembiayaan automobil 1.4 peratus.

Bagi operasi Indonesia, Bank Internasional Indonesia (BII) merekodkan keuntungan sebelum cukai 607 bilion Rupiah Indonesia Rupiah manakala keuntungan bersih sebanyak 498 bilion rupiah.

Mengenai proseknya, Abdul Wahid berkata Maybank menyasar untuk menjadi pemimpin perkhidmatan kewangan serantau, dengan tumpuan kepada tiga pasaran utama -- Malaysia, Singapura dan Indonesia -- yang secara kolektifnya menyumbang 95.7 peratus perolehan kumpulan dan 98.7 peratus kepada keruntungan sebelum cukai dan zakat kumpulan pada tahun kewangan lepas.

Dengan ekonomi ketiga-tiga pasaran ini bersandarkan rekod pertumbuhan, Maybank menjangkakan permintaan untuk pembiayaan akan kekal kukuh, dipacu oleh pembiayaan pengguna di Malaysia, pengguna dan perusahaan kecil dan sederhana di Indonesia dan pertumbuhan yang luas di Singapura.

Kumpulan itu juga mahu terus memberi tumpuan untuk meningkatkan kualiti aset dan mengurangkan kerugian kredit, katanya. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.