Header Ads

Kerajaan tarik balik senarai hitam saman ekor: Nama pemandu masih di 'black list'?

Seorang pemuda hari ini melahirkan rasa kecewa apabila masih tidak dapat memperbaharui cukai jalan kenderaannya biarpun kerajaan mendakwa telah menarik balik tindakan menyenaraihitamkan pesalah trafik berkuat kuasa 11 Ogos lalu.

Dalam emailnya kepada Harakahdaily, Ahmad Nizam berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak MyEG bahawa kenderaannya masih disenarai hitam dan tidak dapat membuat urusan memperbaharui cukai jalan.

"Katanya berkuasa semalam hingga 28 Feb, tetapi dalam sistem masih tak boleh buat, saya dah cuba melalui MyEG.

"Saya hubungi MyEG mereka menyatakan sistem PDRM (Polis DiRaja Malaysia) yang masih belum ‘turn off the bar’," adunya.

MyEG Services Berhad merupakan sebuah syarikat pemegang konsesi kerajaan elektronik Malaysia.


Ianya antara lain menawarkan khidmat memperbaharui cukai jalan secara online tanpa perlu pemilik kenderaan ke kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Pejabat Pos.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan menarik balik tindakan menyenaraihitamkan kenderaan pesalah trafik akibat saman ekor buat sementara waktu bermula hari ini hingga 28 Februari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, ini berikutan keputusan memberi kelonggaran semasa musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi.

Tindakan menyenaraihitam itu sebelum ini mendapat bantahan rakyat yang juga tidak bersetuju dengan tindakan saman ekor oleh PDRM.

Aduan juga telah dikemukakan oleh penyelaras Kempen Anti-Saman Ekor (Kase) kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung perkara sama Selasa lalu. -HRKH
Dikuasakan oleh Blogger.